Oleh Muhammad Aiman
Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) menjadikan agenda nasional sebagai keutamaan apabila memberi lampu hijau kepada dua prospek emas negeri itu di Sukan Malaysia (SUKMA), Goh Jin Wei dan Bryan Teoh untuk tidak menyertai temasya dwitahunan itu bagi membawa cabaran negara di pentas antarabangsa.
Jin Wei yang muncul atlet termuda dalam sejarah SUKMA untuk meraih pingat emas acara perseorangan wanita di Perlis dua tahun lalu, diletakkan dalam senarai simpanan bagi acara tersebut di Sukan Olimpik Rio De Janeiro yang akan berlangsung Ogos depan. Â
Dan atlet berusia 16 tahun itu akan menjadi pilihan untuk menggantikan pemain perseorangan nombor satu negara, Tee Jing Yi di Rio sekiranya rakan senegerinya itu gagal pulih dari kecederaan buku lali menjelang berlangsungnya Olimpik. Â
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mempunyai masa sehingga 18 Julai depan untuk memuktamadkan senarai pemain yang akan mengalas cabaran negara di temasya terbesar dunia itu manakala atlet badminton dijangka bertolak ke Rio pada 29 Julai.
Acara badminton SUKMA Sarawak pula akan berlangsung di Sibu dari 20-22 Julai.
Pengarah MSNPP, Frederick Tan berkata, âAdalah menjadi impian atlet di seluruh dunia untuk beraksi di pentas olimpik. Jika Jin Wei terpilih beraksi di Rio, dia boleh tumpukan sepenuh perhatian terhadap persiapannya dan dia tidak akan mempertahankan emas di Sarawak nanti.â
âAgenda nasional sentiasa menjadi kepentingan dan keutamaan kami, seandainya Jin Wei beraksi di Sukan Olimpik pada usia yang begitu muda, sudah tentunya ia satu kebanggaan buat seluruh Pulau Pinang.â
Malaysia akan diwakili lapan atlet dari sukan badminton iaitu pembawa jalur gemilang serta prospek utama pingat emas, Datoâ Lee Chong Wei, Jing Yi, Goh V Shem/Tan Wee Kiong, Chan Peng Soon/Goh Liu Ying dan Vivian Hoo/Woon Khe Wei.
Tatkala penyertaaan Jin Wei di Olimpik belum dapat dipastikan, pemain golf remaja kebangsaan Bryan pula sah tidak akan menyertai kontijen Pulau Pinang ke Sarawak.
Pemain berusia 15 tahun itu yang mewakili negara di temasya Sukan SEA Singapura tahun lalu, akan mengambil bahagian di Kejohanan Golf Amatur Dunia yang akan berlangsung di lapangan golf Muirfield, Britain dari 9- 14 Ogos depan.
Meskipun pertandingan golf di SUKMA akan berlangsung lebih awal pada 26-28 Julai, Frederick berkata ianya sukar untuk pemain yang berpangkalan di Florida itu mengharungi perjalanan jauh dua kali menjelang sebuah pertandingan besar.
âDia bersekolah dan berlatih di Amerika Syarikat. Sasaran utama Bryan adalah untuk buat yang terbaik di Kejohanan Amatur Dunia. Jadual serta perancangan dia akan terganggu andai kami meminta dia untuk mewakili PP di Sarawak.
âMemang ianya tidak adil untuk menyekat dua atlet remaja terbaik kita daripada beraksi di SUKMA, tetapi dalam dua kes ini, kami faham kepentingan untuk mereka beraksi di pentas antarabangsa, dan kami mahu mereka memberi fokus sepenuhnya untuk membawa kejayaan dan mengharumkan nama Malaysia,â jelas Frederick. Â
Untuk SUKMA edisi ke-18 yang akan berlangsung dari 17-31 Julai, kontijen Pulau Pinang seramai 450 atlet mensasarkan untuk membawa pulang 30 pingat emas dari bumi Sarawak.
Ketika di Perlis dua tahun lalu, Pulau Pinang mengakhiri temasya di tempat ketujuh dengan mengutip 24 emas, 21 perak dan 30 gangsa.