Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin  Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan untuk menyampaikan titah pada majlis Anugerah SAM-100 PLUS 2019 melalui rakaman video.

Majlis rakaman titah ini dilangsungkan di Istana Negara, Kuala Lumpur hari ini.

Presiden Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM), Jasni Shafie berkata, rakaman titah ucapan baginda akan disiarkan kepada hadirin ketika majlis Anugerah SAM 100-PLUS 2019 yang dijadualkan berlangsung pada 1 September 2020 di Auditorium Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di Bukit Kiara.

Turut hadir bersama dalam majlis rakaman ini ialah Dato’ Kamal Harun, Konsultan F&N iaitu penaja utama anugerah berprestij ini.

SAM amat menyanjung tinggi dan menjunjung kasih atas limpah perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk menyampaikan titah ucapan ini yang pastinya suatu amanat yang amat dinanti-nantikan oleh pengamal media sukan dan atlet negara kita.

Pada majlis yang sama tahun lalu yang juga disambut sempena meraikan Ulangtahun Ke-50 tahun penubuhan SAM, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Al-Marhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj, telah mencemar duli berangkat ke majlis berkenaan.

Majlis Anugerah SAM-100 PLUS kali ini akan dilangsungkan dalam skala kecil dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) daripada Kementerian Kesihatan Malaysia ekoran penularan wabak Covid 19. Hanya calon akhir kategori kewartawanan sukan, atlet dan beberapa wakil persatuan-persatuan sukan serta ahli SAM sahaja dijemput menghadiri majlis anugerah kali ini.

“Walaupun begitu, prestij anugerah ini akan tetap kekal dengan hadiah kepada pemenang tidak berubah. Lebih bermakna ialah apabila Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan menyampaikan titah ringkas melalui rakaman video yang disempurnakan hari ini. Pastinya intipati yang disampaikan dalam titah itu akan menjadi sesuatu yang dinanti oleh semua kita,’’ kata Jasni sambil menambah Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican dijangka hadir dan menyampaikan hadiah kepada pemenang.

- Advertisement -