Shahidatun Nadia
Shahidatun Nadia

Oleh Muhammad Aiman

Malaysia menutup cabaran Kejohanan Olahraga Jemputan Terbuka Filipina dengan prestasi mengagumkan apabila pulang dengan tujuh emas, enam perak dan satu gangsa namun Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim tidak mahu cepat berpuas hati dengan pencapaian itu.  

Karim ketika dihubungi sports247 berkata beliau mengharapkan kem olahraga negara akan terus menunjukkan peningkatan dan melakar pencapaian yang lebih baik untuk mengembalikan kemeriahan arena olahraga tanah air yang merudum sejak beberapa tahun kebelakangan.

“Semua tahu kita telah melalui fasa yang sukar dan berada dalam proses pemulihan. Baru-baru ini Nauraj Singh mencipta kejutan di Australia dan kini Terbuka Filipina menjadi platform untuk atlet kita membuktikan kemampuan. Ini menunjukkan bahawa KOM tidak tidur, kita melakukan usaha berterusan untuk memeriahkan semula arena olahraga.

“Ianya adalah sesuatu yang positif untuk melihat konsistensi ditunjukkan atlet seperti Badrul (Hisyam), Khairul (Hafiz). Ada beberapa atlet seperti Azam (Masri), Shahidatun memperbaharui rekod peribadi di kejohanan ini. Tapi kita juga tidak boleh menafikan kita masih perlu bergantung kepada atlet senior seperti Rayzamshah, Hup Wei untuk meraih pingat dan kita mahu atlet-atlet muda khususnya lebih menyerlah selepas ini,” ujar Karim. 

Pada hari terakhir kejohanan Terbuka Filipina yang berlangsung Sabtu, Malaysia menambah tiga lagi pingat pingat emas di Arena Sukan Philsports, di Pasig City.

Shahidatun Nadia Mohamad Zuki dan atlet elit kebangsaan Lee Hup Wei menyumbang pingat emas masing-masing dalam acara lompat kijang wanita dan lompat tinggi lelaki.

Namun keputusan acara 200 meter lelaki lebih mencuri tumpuan peminat sukan tempatan apabila Khairul Hafiz Jantan mengagalkan hasrat Badrul Hisyam Abdul Manap untuk merangkul gelaran berganda.

Badrul Hisyam yang mengungguli acara riben biru, 100 meter pada Jumaat, sekadar berpuas hati dengan pingat perak apabila dikecewakan Khairul Hafiz yang meraih emas dengan catatan masa 21.14 saat manakala Badrul ketinggalan 0.13 saat di belakang.

Terdahulu, Shahidatun Nadia menghadiahkan emas menerusi lompatan sejauh 13.18 meter yang juga catatan peribadi terbaiknya manakala seorang lagi atlet negara R.Kirthana meraih pingat perak dengan catatan 12.77 meter.

Untuk rekod, Shahidatun dan Kirthana masing-masing turut menyumbang pingat perak dan gangsa dalam acara lompat jauh pada Jumaat.

Hup Wei pula melakukan catatan 2.22 meter untuk merangkul emas meskipun lompatan itu masih jauh untuk mengatasi lompatan terbaiknya 2.27 meter yang dilakukan ketika Sukan Olimpik Beijing 2008.

Pada hari pertama kejohanan, Malaysia merangkul dua emas menerusi Rayzamshah Wan Sofian yang unggul dalam acara 110m lari berpagar dan Raja Nursheena Raja Azhar yang memenangi acara 100m lari berpagar.

- Advertisement -