Marco Stefan Petrovski

Oleh Ku Mohd Lufti

Penjaga gol simpanan Melaka United, Marco Stefan Petrovski yang tidak sedarkan diri hampir sebulan akibat dipanar petir meninggal dunia di Hospital Pakar Putra di sini, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar Putra, Datuk Radhuana Salleh mengesahkan pemain naturalisasi berusia 18 tahun itu meninggal kira-kira 4 petang selepas kira-kira 21 hari dirawat di hospital tersebut.

Beliau berkata mayat Petrovski telah dibawa ke Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.

Mendiang Petrovski bergantung pada alat bantuan pernafasan sepanjang dimasukkan ke Hospital Putra pada 11 April lepas.

Petrovski dilaporkan dipanah petir selepas selesai menjalani latihan dengan pasukannya di Krubong, berhampiran Stadium Hang Jebat, di sini pada 5 April lepas.

Beliau mengalami “hypoxic ischemia” kerana kekurangan bekalan oksigen ke otaknya akibat serangan jantung susulan insiden tersebut.

Pemain kelahiran Australia yang menandatangani kontrak tiga tahun bersama Melaka United pada Januari lepas, dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan selepas dipanah petir sebelum dipindahkan ke Hospital Pakar Putra.

Pemain itu mewakili pasukan remaja Sydney Olympic FC di Australia sebelum berpindah ke Melaka United musim ini.

- Advertisement -