athletics

Oleh Muhammad Aiman

Tidak mahu kontroversi rekod baru kembali berulang, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) tidak mengambil masa lama kali ini untuk mengesahkan rekod baru acara 4x100m wanita yang dicatat kuartet negara di Kejohanan Terbuka Singapura pada Jumaat lalu.

Sebelum ini, tidak ada pengesahan dari KOM sama ada rekod 45.32s yang dilakar kuartet S. Komalam Shally, Siti Fatimah Mohd, Nurul Faiza Mazlan dan Zaidatul Husniah Zulkifli dalam laluan meraih emas 4x100m itu diiktiraf atau tidak.

Ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Zainal Abbas ketika ditemui Jumaat lalu berkata ia adalah rekod baru secara tidak rasmi dan keputusan perlu dibuat oleh Jawatankuasa Teknikal KOM setelah mengambil kira faktor seperti angin dan sebagainya.

ā€œKalau kita umumkan ia sebagai rekod baru, tetapi kemudian tidak diiktiraf sepertimana kes Badrul Hisyam dulu, ia hanya akan mewujudkan keadaan kelam kabut dan mungkin juga jejaskan fokus mereka untuk sebab yang tidak sepatutnya,ā€ kata Zainal.

Begitupun, hari ini Presiden KOM Datuk Karim Ibrahim ketika dihubungi Sports247 memaklumkan bahawa rekod itu disahkan sebagai rekod baru, 0.01 saat mengatasi rekod terdahulu 45.33 yang dilakar kuartet Yee Yi Ling, Norjannah Hafiszah, Siti Zubaidah Adabi dan Siti Sarah Abdul Kadir di Poland pada 2010.

Ianya jelas pencapaian yang jauh bertambah baik dari rangkaian pelari 4x100m negara ini yang sekadar melakukan catatan masa 45.41s untuk pulang dengan pingat gangsa di Sukan Sea Singapura tahun lalu dan berpotensi untuk diletakkan sebagai sandaran emas di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 andai terus konsisten.

- Advertisement -