2016_Sukma_Games_LogoOleh Muhammad Aiman

Sebaik pulang dari Poland, fokus pelari pecut negara, Khairul Hafiz Jantan kini terarah kepada memburu gelaran Raja Pecut Sukan Malaysia (SUKMA) edisi ke-18 yang sedang berlangsung di Sarawak.

Pelari terpantas remaja Asia itu kembali ke tanah air pada Sabtu setelah membawa cabaran negara di Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Bydgoszcz dari 19-22 Julai, dan hanya tiba di Kuching pada Ahad.

Namun, pentas dilihat tersedia buatnya untuk dinobatkan selaku raja pecut baru SUKMA setelah penganjur membuat keputusan untuk menukar tarikh pertandingan acara riben biru 100m yang sepatutnya berlangsung Selasa, ke hari Rabu.

Menyuntik motivasi tambahan, atlet yang akan mewakili Melaka itu baru sahaja menyambut hari kelahirannya yang ke-18 pada Jumaat lalu, dan dia berterima kasih kepada penganjur yang membolehkannya mengambil bahagian dalam acara itu di sebalik kemungkinan terpaksa melupakan salah satu kejohanan (SUKMA atau Remaja Dunia) sebelum ini.

“Dengan tempoh rehat yang cukup, saya dalam keadaan bersedia untuk melakukan catatan masa yang terbaik dan mengharumkan nama Melaka,” ujar Khairul Hafiz yang melakar 10.36s untuk muncul pelari Malaysia yang pertama memenangi pingat emas acara 100m di Kejohanan Remaja Asia di Ho Chi Minh, Vietnam pada Mei lalu.

Manakala di Bydgoszcz, Khairul mencatat 10.44s untuk muncul pelari kesembilan terpantas dari 38 pelari di peringkat saringan sebelum melakar 10.58s di separuh akhir, menamatkan perlumbaan di tempat kelapan.

Di Kuching, cabaran terbesar buat Khairul Hafiz adalah rakan sepasukannya, Badrul Hisyam Abdul Manap yang memiliki catatan masa peribadi terbaik 10.29s yang dilakukannya ketika memenangi emas di Kejohanan Sekolah-Sekolah Asean di Brunei, November tahun lalu.

Manakala atlet lain yang dilihat boleh memberikan cabaran serius adalah pelari tuan rumah, Jonathan Nyepa, pemenang pingat emas di Sukan Universiti Asean Singapura baru-baru ini dengan catatan 10.66s serta wakil Negeri Sembilan, Haiqal Hanafi yang meraih emas Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia pada Mei.  

Selain acara 100m, Khairul akan turut mengambil bahagian dalam acara 200m dan 4x100m.

- Advertisement -