Perak Bison kembali merampas kedudukan kedua Sepaktakraw League (STL) Premier dari Kuala Lumpur Thunder setelah menundukkan Terengganu Turtles 2-1 dalam aksi di Dewan Majlis Perbandaran MPSJ, pada Sabtu.

Sedar kemenangan akan meletakkan mereka sebelah kaki untuk menamatkan cabaran di kelompok tiga teratas, trio Meor Zulfikar Mat Amin-Hafiz Zulkifli-Fadzil Mustafa turun dengan keyakinan tinggi dan bermula dengan langkah kanan apabila memenangi set pertama 21-13.

Terengganu Turtles yang dapat menggunakan semula khidmat dua pemain tonggak – Fadzil Roslan dan Zulkifli Razak yang tersisih lama kerana kecederaan sebelum ini bagaimanapun mengheret perlawanan ke set penentuan dengan memenangi set kedua 23-21.  

Tatkala Terengganu Turtles terus menekan di set ketiga, jurulatih Perak Bison, Ismi Hissan Ismail melakukan pertukaran taktikal dengan membawa keluar Meor Zulfikar dan memasukkan Yus Hanif Rosli dan ianya membuahkan hasil apabila mereka menang 21-16. 

Kemenangan kelapan buat Perak Bison menyaksikan mereka mengumpul 16 mata, dua mata mengatasi KL Thunder dan Kelantan Warriors sekaligus semakin hampir untuk mengesahkan tiket beraksi di STL Champions Cup yang bermula minggu depan.

Begitupun, Perak Bison belum boleh menarik nafas lega dan perlu menewaskan KL Thunder dalam aksi terakhir pada Ahad untuk mengesahkan kedudukan mereka selaku tiga pasukan terbaik STL Premier.   

Kekalahan buat Terengganu pula bermakna mereka masih mempunyai talian hayat terakhir untuk memecah masuk ke kelompok tiga teratas iaitu wajib menewaskan Kelantan Warriors dalam aksi penutup tirai STL Premier musim ini dalam masa sama mengharapkan KL Thunder tewas kepada Perak Bison.

Sementara itu, Kelantan Warriors memastikan persaingan tiga teratas tidak mencapai kesudahan anti-klimaks apabila bangkit daripada kekalahan set pertama sebelum menundukkan Johor Tigris yang sudahpun tersingkir ke Divisyen Satu musim depan.

Setelah tewas set pertama 12-21 dan kemudiannya memenangi set kedua 21-10, regu Hisyam Mat-Naim Izani Noor-Aiman Azwawi berdepan detik cemas di set ketiga apabila melepaskan tiga mata mudah berikutan servis kandas di jaring membolehkan Johor Tigris mendahului 20-19.

Namun mereka bangkit mengutip tiga mata berturut-turut untuk menang 22-20 dan memacu Kelantan Warriors meraih kemenangan ketujuh. Kelantan akan menamatkan saingan di kedudukan tiga teratas jika berjaya menewaskan Terengganu Turtles.OLEH MUHD AIMAN 

- Advertisement -