Perak kembali ke tangga kedua Liga Super setelah menjaringkan tiga gol dalam 15 minit terakhir untuk menewaskan pasukan setempat, PKNP FC 4-3 di Stadium Ipoh, pada Sabtu.

Skuad bimbingan Mehmet Durakovic mendahului 1-0 pada minit kelapan menerusi Norhakim Hassan namun PKNP berjaya menyamakan kedudukan menerusi Franklin Anzite pada minit ke-33.

Skuad bimbingan Abu Bakar Fadzim kemudiannya merebut pendahuluan dua gol menerusi jaringan Syamim Baharudin (m-60) dan Norhakim Isa (m-69) yang menjadikan kedudukan 3-1 berpihak kepada PKNP FC.

The Bos Gaurus bagaimanapun menterjemah kebangkitan sensasi apabila kapten pasukan, Nasir Basharudin merapatkan jurang pada minit ke-77 diikuti gol penyamaan menerusi Wander Luiz Junior lima minit kemudian.

Ketika perlawanan dilihat menuju penamat dengan kedudukan 3-3, pengadil Nazmi Nasarudin menghadiahkan penalti kepada Perak pada minit kelima masa kecederaan dan ia mudah disempurnakan Gilmar Da Silva untuk mengesahkan tiga mata.

Ia adalah kemenangan ketujuh Perak musim ini, membolehkan mereka mengumpul 23 mata dan berada di tempat kedua manakala PKNP FC pula di tangga ketujuh dengan 14 mata.

Kedah pula meneruskan rentak cemerlang apabila mencatat kemenangan ketiga berturut-turut dengan menewaskan tuan rumah Selangor 2-1 di Stadium Cheras sekaligus melebarkan rekod tanpa kalah kepada tujuh perlawanan.

Lang Merah membuka jaringan menerusi Baddrol Bakhtiar pada minit ke-28 dan menggandakan kelebihan menerusi Liridon Krasniqi pada minit ke-52. Gol saguhati Selangor dijaringkan Syahmi Safari pada minit ke-70.
Kemenangan membolehkan Kedah berada di tangga kelima dengan 21 mata manakala Selangor pula kekal di tangga kesembilan dengan 11 mata.

Terengganu FC turut meneruskan momentum kemenangan apabila mencatat kemenangan ketiga berturut-turut dengan menewaskan Melaka United 1-0 di Kuala Terengganu menerusi jaringan tunggal Ashaari Samsudin pada minit ke-60.

Skuad bimbingan Irfan Bakti menduduki tempat keempat dengan 21 mata manakala Melaka United pula di kedudukan ke-10 dengan 11 mata.

Sementara itu, Negeri Sembilan akhirnya menoktahkan kemarau kemenangan apabila melakar kemenangan pertama selepas 10 perlawanan dengan menewaskan Kelantan 2-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Tuah bermain ‘away game’ di gelanggang sendiri dimanfaatkan sebaiknya skuad bimbingan Asri Ninggal untuk menghukum barisan serba pincang Kelantan apabila menjaringkan gol menerusi Alex Moraes pada minit ke-16 dan penalti Angel Guirado pada minit ke-38.

Kemenangan kedua buat Negeri Sembilan musim ini bagaimanapun menyaksikan mereka kekal menghuni tangga tercorot dengan lapan mata, dipisahkan menerusi beza jaringan dengan Kelantan yang berada di tangga ke-11.MUHD AIMAN 

- Advertisement -