PERAK melonjak ke kedudukan teratas Kumpulan B selepas mencatat kemenangan pertama dengan mengetepikan Sabah 2-0 untuk mencerahkan peluang ke suku akhir pada saingan hari ketiga TNB Piala Tun Abdul Razak (Lelaki) 2020 di Stadium Nasional Hoki di Bukit Jalil hari ini. 

Selepas terikat 3-3 menentang Johor semalam, Perak nyata garang dengan corak permainan pantas untuk mengutip tiga mata penuh yang meletakkan pasukan itu di tempat teratas Kumpulan dengan empat mata diikuti Johor dan Selangor masing-masing di kedudukan ke-2 dan ketiga dengan dua mata. 

Gol Perak hadir menerusi jaringan Arif Sabron pada minit ke 19 diikuti Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan (minit ke-41).  

Berbaki satu perlawanan esok, Perak berdepan Selangor dengan kedua-dua pasukan perlu memastikan kemenangan manakala Johor, naib juara tahun lepas, juga turun dengan misi mesti menang bertemu Sabah. 

Perlis meraih kemenangan pertama dengan mengatasi Pulau Pinang 3-2 sekaligus menghidupkan suku akhir dengan meraih empat mata selepas perlawanan akhir Kumpulan A hari ini. 

Pemain kebangsaan senior Tengku Ahmad Tajuddin menyumbang satu gol menerusi strok penalti pada minit ke-43 manakala Najmi Farizal Jazlan (minit ke-2) dan Mughni Mohamad  Kamal (minit ke-49) melengkapkan kemenangan buat Perlis. 

Sementara itu, hujan lebat menyaksikan dua perlawanan membabitkan ATM-PDRM dan Pahang-Kedah terpaksa dihentikan. 

Perlawanan ATM-PDRM dihentikan pada suku ketiga dengan kedua-dua pasukan berkongsi mata setelah terikat 0-0 apabila permainan dihentikan pada minit ke-33. 

Pahang pula mendahului Kedah 2-0 sebelum permainan dihentikan pada minit ke-34. Kedua-dua pasukan bersetuju untuk tidak meneruskan permainan dengan kemenangan 2-0 kepada Pahang.  Muhammad Noor Firdaus menjadi wira Pahang selepas meledak dua gol pada minit ke-5 dan ke-24.

Pahang kini mengumpul tiga mata daripada dua perlawanan dan perlu menang ke atas Negeri Sembilan esok untuk mara ke pusingan seterusnya. 

Dalam saingan wanita, Melaka berada pada kedudukan selesa selepas mencatatkan kemenangan selesa 3-0 ke atas Sarawak. Kemenangan kedua itu meletakkan Melaka sebagai pendahulu dalam Kumpulan B dengan catatan enam mata diikuti Pahang pada kedudukan kedua. 

Jaringan penyerang Nurul Aqilah Izzati Hasnawi pada minit ke-22, Nur Aisyah Yaacob (min 44) dan Nurliyana Mohd Kip (min 47) cukup untuk meranapkan harapan Sarawak yang kini berada di tangga terbawah kumpulan tanpa sebarang mata. 

“Perlawanan menentang Pahang esok amat penting untuk kami benar-benar menjamin kedudukan selain merealisasikan sasaran empat teratas,” kata ketua pasukan Melaka Nur Aisyah Yaacob.

Negeri Sembilan pula mengutip mata pertama selepas seri 2-2 dengan ATM yang menyaksikan saingan dalam Kumpulan C terbuka luas.  Perlawanan nyata sengit dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan sepanjang tempoh permainan. 

ATM membuka jaringan menerusi  Nurul Asyahadah Sapawai lapan minit selepas wisel mula sebelum Negeri Sembilan membalas menyamakan kedudukan menerusi Nurfarra Firdayu Hamidy empat minit kemudian. 

ATM kembali di depan menerusi Surizan Awang Noh (min-28) namun Negeri Sembilan bangkit di saat akhir untuk memastikan satu mata menerusi jaringan strok penalti Fatin Dizana Mohd Zaidi pada minit ke-58. 

Kuala Lumpur pula boleh menarik nafas lega selepas meraih mata penuh dengan kemenangan tipis 2-1 ke atas Pahang dalam Kumpulan B dengan Kirandeep Kaur menjadi tunjang utama menghasilkan kemenangan pada minit ke-57 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Pahang sebelum itu mendahului menerusi jaringan padang Hanis Nadia Onn sebelum Nur Zafirah Aziz menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-29 untuk menyamakan kedudukan buat Kuala Lumpur. 

Kapten pasukan Kuala Lumpur, Nurazlin Sumantri lega dengan kebangkitan semula pasukan itu selepas kekalahan di tangan Melaka pada perlawanan pertama: “Kami belajar dari kesilapan dan bermain dengan rentak dan pendekatan yang berlainan,” kata beliau sambil berharap rakan sepasukan tidak leka dalam perlawanan hidup mati menentang Serawak nanti. 

 

KEPUTUSAN (LELAKI) 

KUMPULAN A: 

Perlis mln Pulau Pinang 3-2

 

KUMPULAN B: 

Perak mln Sabah 2-0

 

KUMPULAN C: 

ATM mln PDRM 0-0

(Perlawanan dihentikan pada minit ke 33 ekoran hujan)

 

KUMPULAN D: 

Pahang mln Kedah 2-0 

(Perlawanan  dihentikan pada minit 34 ekoran hujan)

 

JADUAL PERTANDINGAN HARI KE-4 (LELAKI): ISNIN, 21 SEPT

Kumpulan A:

Pulau Pinang mln Melaka

 

Kumpulan B:

Sabah mln Johor

Selangor mln Perak

 

Kumpulan C:

Kelantan mln Terengganu

 

Kumpulan D: 

Kuala Lumpur mln Kedah 

Pahang mln Negeri Sembilan 

 

KEPUTUSAN (WANITA) 

KUMPULAN B

Kuala Lumpur mln Pahang 2-1

Melaka mln Sarawak 3-0

 

KUMPULAN C

ATM mln Negeri Sembilan 2-2

 

JADUAL PERTANDINGAN HARI KE-4 (WANITA): ISNIN, 21 SEPT

Kumpulan A:

Perak mln Selangor

Pulau Pinang mln Terengganu

 

Kumpulan B: 

Kuala Lumpur mln Sarawak 

Melaka mln Pahang

- Advertisement -