Oleh Muhammad Aiman

Pengendali Perak, Karl Heinz Weigang berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 dicatat pasukannya ketika aksi pembukaan Liga Super 2017 menentang Pahang di gelanggang sendiri pada Sabtu.

Meskipun begitu, Weigang berpendapat sentuhan barisan depan Perak masih kurang menyengat malah menegaskan pemainnya belum lagi menterjemahkan prestasi sebenar gara-gara tidak banyak mengharungi aksi kompetitif sebelum ini.

“Saya boleh sifatkan kami masih lagi kurang ‘match-fitness’, ini disebabkan kita lebih banyak menentang pasukan berstatus sederhana ketika pra-musim dan tidak banyak berdepan pasukan yang lebih kuat.

“Perlawanan ini memperlihatkan betapa kami perlu terus bekerja keras, pemain lambat panas dan hanya menemui rentak di separuh masa kedua. Walaupun berterusan memberi tekanan kepada Pahang, pemain hilang punca apabila bola berada di kawasan berbahaya dan secara keseluruhannya masih gagal bermain sebagai satu pasukan.

“Saya berharap masalah ini dapat diatasi sebelum perlawanan menentang Pulau Pinang nanti,” ujar Weigang, pengendali paling veteran dalam arena bolasepak tempatan – berusia 80 tahun.

Bagi ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh pula, dia berpendapat pemainnya wajar diberikan kredit kerana berjaya menangani asakan hebat tuan rumah pada babak akhir permainan dan membawa pulang satu mata.

“Mereka menyempurnakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan begitu baik sekali, ini adalah perlawanan pertama dan kita bermain di gelanggang lawan. Sudah tentunya seri satu keputusan yang baik dan saya percaya pasukan akan lebih menyerlah apabila pemain-pemain import dapat menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan lain,” kata Dollah.

Pada perlawanan itu, Pahang mendahului pada minit ke-56 menerusi Ahmad Syamim Yahya yang memanfaatkan situasi kelam-kabut di dalam kotak penalti, sebelum Thiago Junior menjaringkan gol penyamaan dengan menanduk masuk hantaran sepakan sudut.

- Advertisement -