Baru sahaja Mehmet Durakovic mahu menarik nafas lega dengan perkembangan positif ditunjukkan Khairil Anuar Zamri, Nasir Basharudin, Brendan Gan dan Norhakim Hassan yang semakin menghampiri kecergasan penuh setelah kembali dari kecederaan, giliran Leandro Dos Santos pula tersisih kerana kecederaan tatkala mereka dalam persiapan menentang Kelantan di Kota Bharu, pada Sabtu.

Ketika dihubungi Sports247, Mehmet berkata, “Saya belum boleh putuskan siapa yang boleh bermain siapa yang tidak, yang pasti Leandro tersisih selebihnya akan saya nilai kondisi mereka selepas latihan terakhir hari ini. Saya berharap tiada tambahan dalam senarai kecederaan.”

Pengendali itu meletakkan harapan tinggi pasukannya kembali ke landasan kemenangan dan dapat meneruskan rentak cemerlang di gelanggang lawan meskipun sedar Kelantan juga akan turun dengan motivasi tinggi setelah gagal melakar kemenangan dalam tiga aksi pertama.

Dalam dua aksi di tempat lawan, skuad Bos Gaurus seri tanpa jaringan menentang Pahang di Kuantan dan kemudiannya menewaskan Kedah 3-1 di Alor Star. Kekalahan tunggal mereka adalah kepada PKNS FC di Stadium TLDM Lumut pada 10 Februari lalu.

Dengan empat mata, Perak ketika ini berada di tangga ketujuh manakala Kelantan pula terperosok di tangga tercorot dengan hanya satu mata.

Dalam pada itu, kem Kelantan pula mengharapkan agar kehadiran semula pemain import sensasi, Mohamed Ghaddar buat kali keempat untuk menyarung jersi The Red Warriors akan dapat membantu pasukan itu akhirnya mencatat kemenangan pertama. 

Ghaddar pada musim lalu mencipta sejarah tersendiri menjaringkan 18 gol dalam 13 perlawanan pertama bersama Kelantan sebelum berhijrah ke Johor Darul Takzim dan kemudiannya muncul penjaring terbanyak Liga Super dengan 23 gol.

Pemain dari Lubnan itu yang merupakan ejen bebas setelah dilepaskan JDT didaftarkan semula pada saat akhir sebelum pintu perpindahan ditutup menggantikan Morgaro Gomis yang mengalami kecederaan pangkal paha.

Pengendali sementara TRW, Yusri Che Lah berkata, “Kehadiran semula sudah tentunya satu rezeki dan rahmat bagi kita di saat kita sedang berdepan detik sukar. Sentuhan Ghaddar sudah terbukti dan dia adalah kesayangan peminat, saya harap dia adalah solusi yang kita cari dan semua berharap dia akan dapat ulangi sentuhan magis untuk merubah nasib kita.” – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -