Sukma XVII Perlis 2014 LogoGol pada masa kecederaan menerusi Mohd Fikri Sudin membawa Perak ke suku akhir acara bola sepak setelah jaringannya itu memastikan kemenangan 4-3 ke atas Terengganu.

Kemenangan Perak itu sekaligus menyaksikan mereka muncul juara kumpulan manakala Terengganu tersingkir dari kumpulan B.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Unimap, Pauh itu Terengganu yang sebelum ini tewas di tangan Kedah bermula garang dengan gol seawal minit ke 13 menerusi Aiman Amran.

Namun Perak tidak mudah gelabah sebaliknya berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan Mohd Rafiq Faeez Muhammad pada minit ke 37.

Dua minit sebelum berakhir babak pertama, giliran Perak di depan apabila percubaan Khairul Asyraf Sahizah terus menerjah jaring untuk kedudukan 2 – 1.

Perlawanan terus rancak di babak kedua. Terengganu yang tidak mudah mengaku kalah menjadikan kedudukan dua sama setelah Mohd Faidzol Shamsuddin bijak menyambar peluang terhidang di depan gawang Perak.

Perak kembali di depan apabila Mohd Sharel Fikri menjadikan kedudukan 3 – 2 apabila cepat menyambut umpanan rakan sepasukannya pada minit ke 63.

Namun kedudukan tersebut tidak bertahan lama. Terengganu yang tidak mudah mengalah sekali lagi menyamakan kedudukan pada minit ke 72 menerusi jaringan Mohd Safawi Rasid.

Ketika kedudukan seri sudah memadai untuk Perak muncul juara  kumpulan B, Mohd Fikri Sudin memastikan tiga mata penuh buat semi-finalist Piala Presiden itu dengan gol kemenangan pada masa kecederaan.

Dalam aksi Kumpulan C, Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang melangkah ke suku akhir setelah mencatat kemenangan dalam perlawanan terakhir kumpulan.

Wilayah Persekutuan menewaskan Selangor 3 – 1, manakala skuad Pulau Mutiara membelasah Melaka 4 – 0 untuk muncul juara kumpulan.

 

Jadual bola sepak (4.00 petang)

Perlis lwn Sarawak  –  Stadium UiTM, Arau

Pahang lwn Sabah – Padang Rani UiTM, Arau

Johor lwn N.Sembilan – Stadium UniMap, Pauh

- Advertisement -