pescao-2

Oleh Muhammad Aiman

Kecederaan yang dialami akibat kemalangan pada perlumbaan Kejuaraan Motosikal Grand Prix (MotoGp) di Litar Philip Island, Australia minggu lalu tidak sedikitpun menjejaskan semangat pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah.

Sebaliknya, Hafizh atau dikenali sebagai Pescao semakin membara dan mensasarkan penamat lebih cemerlang apabila berlangsungnya perlumbaan pusingan ke-17 MotoGp di Litar Antarabangsa Sepang, hujung minggu ini. 

Pelumba berusia 22 tahun dikenali sebagai Pescao itu berkata dia gembira dengan pencapaian keseluruhannya bagi sepanjang musim ini setelah berjaya mengumpul lebih dari 100 mata sepertimana menjadi sasaran awal justeru optimis mampu meneruskan aksi cemerlang itu untuk memburu kedudukan podium di SIC.

“Saya telah beberapa kali menghabiskan perlumbaan di tempat keempat dan hampir berada di podium cuma rezeki belum berpihak kepada saya. Saya akan cuba memberi saingan yang terbaik bagi menamatkan perlumbaan dan mahu berada di podium,” kata Hafizh pada sidang media bersama pasukannya Petronas Raceline Malaysia di Pescao55 Concept Store, hari ini.

Tambah Hafizh, “Saya mempunyai sedikit kelebihan beraksi di litar kering serta keadaan cuaca yang panas. Tetapi saya tidak pasti mengenai keadaan litar SIC yang baru diturap di selekoh terakhir, dan akan melakukan ujian pada Khamis dan Jumaat ini.”

Pelumba kelahiran Selangor itu ketika ini berada di tangga kesembilan keseluruhan dunia dengan 106 mata bagi kelas Moto2 dan dia turut meletakkan sasaran mahu mengekalkan kedudukannya di 10 teratas.

“Sekarang saya jatuh di kedudukan kesembilan keseluruhan berikutan gagal menamatkan perlumbaan pada pusingan lalu di Australia yang menyebabkan saya gagal mengutip mata. Bagaimanapun, saya akan lakukan terbaik untuk memastikan kekal dalam 10 kelompok terbaik. Tiada yang mustahil kerana perlumbaan masih berbaki dua pusingan lagi.”

Bagi pengurus pasukan Petronas Raceline Malaysia, Barry Leong, beliau menyatakan musim 2016 telah menjadi satu musim yang cukup baik buat pasukannya dan berterima kasih kepada Petronas atas sokongan dan kepercayaan diberi,

“Saya cukup gembira dengan pencapaian kita bagi musim ini. Walaupun kita tidak mengharungi penamat yang baik di tiga perlumbaan lepas, kita telah lama bekerja dengan perancangan yang baik untuk perlumbaan di Sepang. Kita berharap peminat akan turun beramai-ramai untuk memberikan sokongan nanti.”

Dalam pada itu, bagi pemilik pasukan Petronas AHM Malaysia, Kenny Chua pula, beliau yakin pelumbanya Ramdan Rosli yang akan beraksi menerusi tiket wildcard di SIC akan menepati ekspetasi diletakkan dan menyerlahkan potensi sebenarnya.

“Melihat kepada prestasi meningkat naik ditunjukkan Ramdan di dua perlumbaan terakhir, terutama di Litar Philip Island, kita yakin dia (Ramdan) akan capai sasaran yang diletakkan,” kata Kenny.

Untuk rekod, selepas SIC, pusingan ke-18 yang juga pusingan terakhir MotoGP bagi musim 2016 akan berlangsung di Valencia dari 11 – 13 November depan.

- Advertisement -