Skuad kebangsaan Malaysia mahu tampil dan memberi impak besar pada edisi ke-26 PETRONAS Le Tour de Langkawi 2002, sekali gus mengikis tanggapan ia sekadar pasukan pelengkap jadual.

Ketua Jurulatihnya, Mohd Yusof Nasir berkata, kehadiran banyak pasukan berstatus elit WorldTeam dan Pro Continental pada penganjuran kali ini, membuatkan pelumba amatur negara bersemangat untuk memberikan aksi lebih baik, sekali gus mengukur kemampuan mereka berkayuh dengan jaguh handalan dunia.

Dengan meletakkan sasaran podium pada mana-mana peringkat, Mohd Yusof juga mahu pelumba negara bersikap lebih peka dan agresif apabila berada di dalam peloton.

“Saya lebih yakin dengan pelumba yang terpilih pada kali ini kerana mereka sudah lama berlatih tetapi hanya bertanding di dalam negara sahaja. Tahap kecergasan mereka akan ditingkatkan ke tahap lebih tinggi menjelang bermula LTdL 2022, 11 Oktober nanti.

“Apa yang saya harapkan ialah pelumba yang terpilih kali ini memberi impak yang lebih bermakna dan sentiasa agresif untuk berada dalam kelompok breakaway. Saya harap mereka dapat mengikis tanggapan ia sekadar pasukan pelengkap jadual,” katanya.

Menurutnya, enam pelumba pilihan dan dua pelumba simpanan sudah menjalani latihan di bawah penolong jurulatih, Amir Mustapa sejak beberapa minggu lalu dan dia sendiri baru dapat bersama-sama pelumba selepas selesai membantu skuad berbasikal Selangor di temasya Sukan Malaysia ke-20 (Sukma XX) yang baru berakhir, Sabtu lalu.

Menurutnya, pelumba yang sedang berlatih ketika ini adalah pelumba berpengalaman Nik Mohd Azwan Zulkiflie, Sofian Nabil Omar Bakri, pelumba kembar Muhammad Ameer dan Muhammad Ameen Ahmad Kamal, Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil dan pelumba muda Kee Zha Yie; serta dua pelumba simpanan Ariff Danial Noor Roseibi dan Norhasmat Abdul Aziz.

“Menjelang dua minggu sebelum bermula LTdL 2022, kami akan membuat latihan berintensiti lebih tinggi di sekitar Kuala Lumpur terutama di laluan sekitar Kuala Pilah dan Genting Highlands supaya pelumba dapat mengikut rentak kayuhan lebih laju peloton yang pastinya akan diterajui pasukan-pasukan WorldTeam,” kata Mohd Yusof.

Kecuali Zha Yie yang menduduki tempat kedua acara lebuhraya kebangsaan Bawah 23 tahun ini, lima pelumba senior yang lain pernah beberapa kali mengecap pengalaman berkayuh dalam LTdL.

Malah, Sofian Nabil yang pernah berkayuh bersama NSC Mycron, Forca Amskins dan Team Sapura Cycling, pernah menyarung jersi putih Pelumba Terbaik Asia pada Peringkat 3 LTdL 2019.

Seperti Sofian Nabil, Nik Mohd Azwan, 32, diharap menyinar dan membantu pasukan kebangsaan terutama di laluan mendaki di Peringkat 3 ke Genting Highlands dan Peringkat 7 Gunung Raya tahun ini.

Skuad kebangsaan Malaysia hanya berkayuh dua kali di pentas antarabangsa sepanjang 2022 ini iaitu di Jelajah Thailand pada April dan Sukan SEA Vietnam pada Mei.

LTdL22 akan membuka tirai saingan dengan Peringkat 1 Kuala Pilah ke Kuala Lumpur sejauh 157.3km; Peringkat 2 Kuala Klawang-Raub (178.9km); Peringkat 3 Putrajaya-Genting Highlands (123.7km); Peringkat 4 Sabak Bernam-Meru Raya  (137.9km); Peringkat 5 Kuala Kangsar-Kulim (172.0km); Peringkat 6 Georgetown-Alor Setar (120.4km); Peringkat 7 Kuah-Gunung Raya (90.8km) dan Peringkat 8 Loop Langkawi (115.9km), membabitkan jarak keseluruhan 1,096.9km.

LTdL 2022 kali ini dianggap paling sengit dan menarik dapat disaksikan dengan penyertaan enam pasukan WorldTeam iaitu UAE Team Emirate (UAE), Cofidis (Perancis), Lotto Soudal (Belgium), EF Education EasyPost (Amerika Syarikat), Movistar (Sepanyol) dan Astana-Qazaqstan (Kazakhstan).

Empat pasukan berstatus Pro Continental pula adalah Drone Harper-Androni Giocattoli (Itali), Uno X-Pro Cycling (Norway), Alpecin-Deceuninck (Belgium) dan Burgos-BH (Sepanyol).

Cabaran pasukan Continental pula diketuai dua pasukan profesional benua tempatan, Terengganu Polygon Cycling Team dan Team Sapura Cycling, dua pasukan berdaftar di Indonesia iaitu Mula Cycling Team dan Roojai Cycling Team, ARA Pro Racing Sunshine Coast (Australia), China Glory Continental Cycling Team (China), ProTouch (Afrika Selatan) da Kuwait Pro Cycling (Kuwait).

Pasukan rantau Asia lain termasukah Thailand Continental Team (Thailand), Team UKYO (Jepun), 7-Eleven Cliqq Air (Filipina) dan pasukan kebangsaan Malaysia.

- Advertisement -