DENGAN jarak keseluruhan 1,105.1km, lapan peringkat saingan PETRONAS Le Tour de Langkawi 2022 yang bermula Selasa ini, bakal menyajikan kayuhan memeritkan buat pelumba yang perlu merancang strategi dan taktikal tepat untuk mengutip mata pada 23 zon pecutan dan 19 zon pendakian di sepanjang laluan.

Dijangka, tiga peringkat pertama bakal menyaksikan pertukaran jersi utama pendahulu keseluruhan (jersi kuning) dan Raja Pecut (jersi hijau) kerana ada 12 zon pendakian termasuk penamat Peringkat 3 Kategori Hors ke puncak Genting Highlands.

Dari Peringkat 1 yang bermula di Seri Menanti, Kuala Pilah menuju ke perkarangan Kuala Lumpur City Center (KLCC) sejauh 157.3km, pelumba bakal mengharungi keperitan sejak awal apabila terpaksa menempuh 5 zon pendakian dan 3 zon pecutan.

Selepas melalui zon pecutan 1 di Senaling (12.3km), peloton akan mendaki zon pendakian Kategori 3 kira-kira 4km kemudian, sebelum zon pendakian di Bukit Miku dan Mantin dan zon pecutan di Rembau dan Senawang.

Perebutan jersi Raja Bukit belum berakhir kerana dua zon pendakian Kategori 2 menunggu pelumba selepas memasuki sempadan negeri Selangor iaitu di Tekali dan Look Out Point, Ampang sebelum menuju ke garisan penamat di depan KLCC.

Penyarung jersi pendahulu, Raja Bukit dan Raja Pecut perlu bekerja keras pada Peringkat 2 Kuala Klawang ke Raub disebabkan jarak kayuhan (178.9km) adalah terpanjang pada edisi ke-26 ini, selain terhidang 3 lagi zon pecutan di Simpang Durian, Karak dan Mempaga serta 2 zon pendakian mudah Kategori 4 di Petasih dan Bukit Damar, sebelum berakhir di Dataran Raub.

Peringkat ketiga Putrajaya-Genting Highlands sejauh 131.9km menjadi tumpuan pencabar utama dalam LTdL 2022 ini yang sering menobatkan juara sebenar dan pemenang gelaran Raja Bukit.

Penyarung jersi Raja Pecut mampu mengukuhkan kedudukan tetapi tumpuan lebih terarah kepada jersi kuning dan jersi Raja Bukit kerana pelumba perlu menempuh dua pendakian Kategori 3 di Tekali dan Look Out Point, Ampang sebelum dua pendakian Kategori 1 di Genting Sempah dan Goh Tong Jaya yang hanya berjarak 6km.

Memasuki Awana, pelumba perlu memerah keringat menuju ke puncak pusat peranginan tanah tinggi itu ke garisan penamat yang terletak pada ketinggian 1,640m dari aras laut.

Siapa bakal menyarung jersi kuning dan jersi Raja Bukit di akhir peringkat ini, boleh menarik nafas lega untuk memulihkan tenaga kerana Peringkat 4 berikutnya dari Sabak Bernam-Meru Raya sejauh 137.9km dijangka tidak akan menyaksikan perubahan besar dalam senarai keseluruhan individu, jersi kuning dan jersi Raja Bukit.

Namun, pendahulu jersi perlu peka dan memastikan pencabar terdekat mereka tidak cuba meloloskan diri jauh ke depan dan memastikan setiap cubaan breakaway dapat dikejar menjelang peloton menghampiri garisan penamat.

Tumpuan lebih terarah kepada saingan Raja Pecut kerana ada tiga zon pecutan pada setiap peringkat untuk pelumba mengumpul mata dan cuba memenangi peringkat.

Diramalkan Peringkat 4, 5 dan 6 akan berakhir dengan pecutan beramai-ramai pasukan yang mengandungi pakar pecut manakala penyarung jersi kuning dan merah hanya sekadar mengenakan kayuhan secara selamat.

Ini kerana, dua peringkat seterusnya di Peringkat 5 Kuala Kangsar ke Kulim (172.0km) dan Peringkat 6 Georgetown-Alor Setar (120.4km) juga dianggap landai tetapi tetap menyediakan tiga zon pecutan pada setiap peringkat, manakala hanya ada satu zon pendakian mudah Kategori 4 di Sumpitan.

Pelumba akan berpindah ke Pulau Langkawi sebaik menamatkan kayuhan di Alor Setar untuk menghadapi dua baki peringkat yang memberikan mereka peluang untuk cuba merampas setiap jersi yang dipertaruhkan.

Peringkat 7 Kuah-Gunung Raya sejauh 90.8km memberikan peluang cerah kepada pencabar jersi kuning dan jersi Raja Bukit untuk cuba berbuat sesuatu kerana selain tiga zon pecutan, LTdL 2022 juga menyediakan tiga zon pendakian termasuk pendakian curam menuju ke puncak Gunung Raya berhampiran stesen MEASAT dengan ketinggian 864m dari aras laut.

Peringkat 8 Kuah-Loop Langkawi sejauh 115.9km menjadi peluang terakhir buat pencabar terdekat merealisasikan impian untuk bergelar juara LTdL 2022 dan dijangka detik-detik terakhir ini menjadi lebih sengit kerana pasukan kepada penyarung jersi kuning akan bertungkus-lumus mengemudi tempo kayuhan dalam peloton untuk memastikan penyarung jersi kuning, Raja Bukit dan Raja Pecut tidak terlolos ke depan.

- Advertisement -