COFIDIS akan bersandarkan kepada pengalaman apabila terbang sebagai antara pasukan handalan ke Malaysia untruk menghadapi saingan edisi ke-26 PETRONAS Le Tour de Langkawi 2022 yang bermula minggu depan.

Pasukan berdaftar di Perancis ini mahu menambah koleksi 19 kemenangan yang dicatat setakat musim ini, termasuk tiga gelaran individu keseluruhan (GC), perlumbaan Klasik (7) dan kemenangan peringkat (9) apabila memulakan saingan lapan hari LTdL 2022 yang bermula 11 hingga 18 Oktober ini.

Mengetuai cabaran pasukan Perancis ini ialah calon pencabar GC berusia 33 tahun dari Sepanyol, Ion Izagirre, yang berpengalaman berkayuh dalam 15 kali dalam Grand Tour dan 22 perlumbaan Klasik sepanjang 12 tahunnya bergelar pelumba profesional bersama pelbagai pasukan handalan. Izagirre yang mengumpul 16 kemenangan peribadi setakat ini, menduduki tempat ke-27 dalam perlumbaan Liege-Bastogne-Liege baru-baru ini.

Pelumba kelahiran Ormaiztegi ini yang memulakan karier profesionalnya bersama pasukan Orbea Oreka pada 2010, juga pernah mewakili Astana pada 2019-2021, selain dua musim bersama Bahrain Merida (2017-2018) dan Movistar (2014-2016).

Reputasi Izagirre adalah antara pelumba berpengalaman dalam Grand Tour kerana menimba aksi 8 kali dalam Tour de France termasuk tiga tahun berturut-turut iaitu 2020, 2021 dan 2022, tiga Giro dan 4 Vuelta, sekali gus meletakkan beliau sebagai antara pelumba pilihan apabila cabaran LTdL 22 disingkap di Kuala Pilah, Selasa ini (11 Oktober).

Dengan kontraknya bersama Cofidis dilanjutkan sehingga 2024, Izagirre yang kini menduduki ranking ke-80 dunia, pasti tidak sabar untuk mencatat satu lagi kemenangan peribadi, terutama selepas memenangi Peringkat 6)  jeajah Itzulia Basque County pada April lalu. 

Kejayaan besar lain termasuklah menang Peringkat 9 Paris-Nice dan Peringkat 20 Tour de France 2016. Dia juga menang Peringkat 6 Vuelta a Espana 2020 dan menduduki tangga ke-39 keseluruhan dalam Tour de France tahun ini.

Cofidis juga berharap kepada kelibat pelumba serba boleh berusia 36 tahun Sander Armee, bekas pelumba Team Qhubeka NextHash (2021) dan muka lama bersama Lotto-Soudal (7 musim sejak 2014).

Pelumba kelahiran Belgium ini yang pernah menang peringkat dalam Vuelta 2017 dan berkayuh dalam 10 Grand Tour sejak 2014, adalah seorang lagi calon pemburu jersi kuning, dengan pengalaman berkayuh dalam enam Vuelta, 4 Giro dan terbaru menduduki tempat keenam keseluruhan dalam saingan Raja Bukit Tour of Luxembourg (2.Pro).

Seorang lagi calon bagi GC Cofidis adalah Ruben Fernandez, 31, pelumba berpengalaman yang pernah menyarung jersi Movistar selama lima musim sebelum mengikat kontrak empat tahun bersama Cofidis pada tahun lalu.

Antara pencapaian terbarunya termasuklah tempat ketujuh perlumbaan sehari Giro dell’Emilia pada awal bulan ini yang menyaksikan juara Tour de France Tadej Pogacar pelumba nombor 1) dari UAE Team Emirates menamatkan kayuhan di tempat kedua manakala pelumba Movistar, Alejandro Valverde (kini tangga ke-8 dunia) di tempat keempat.

Cofidis juga menghantar amaran awal kepada pakar pecut pasukan lain dengan menyenaraikan pemenang peringkat dan Raja Pecut LTdL 2020, Max Walscheid.

Pelumba tinggi lampai kelahiran Jerman itu mewakili NTT Pro Cycling ketika menang Peringkat 3 LTdL 2020 (Temerloh-Kuala Lumpur) dan Peringkat 8 di Langkawi.

Yang menduduki tempat ketiga Giro Sparkassen Munsterland awal minggu ini, menunjukkan peningkatan memberangsangkan sejak empat tahun lalu dengan seringkali menduduki tangga lima teratas dalam pelbagai perlumbaan termasuk Edisi ke-63 Grand Prix de Denain Porte du Hainat, keempat di Minerva Classic Brugge-De Panne 202, kedua  keseluruhan Danilith Nokere Koerse 2020 dan kedua Peringkat 1 Tour Down Under 2019.

Simone Consonni, 28, pelumba kelahiran Itali yang pernah bersama UAE Team Emirates dan menjuarai Classique Paris-Chauny bulan lalu, adalah seorang lagi pakar pecut yang memburu kemenangan peringkat di Malaysia. Dia seringkali meletakkan dirinya dalam kelompok tiga teratas dalam perlumbaan Tour de France 2020, Tour Down Under dan Giro d’Italia.

Sementara itu, Astana Qazaqstan akan mengharapkan pelumba 35 tahun Manuele Boaro untuk memberi impak besar dalam LTdL 2022 ini.

Pernah berkayuh untuk Tinkoff dan Bahrain Merida Team, pengalaman  Boaro berkayuh dalam 11 Grand Tour membolehkan Astana mencabar beberapa pelumba pilihan untuk GC. Mewakili Astana sejak 2019, Boaro turut berlumba dalam tiga perlumbaan Klasik besar tahun ini, Paris-Roubaix, Tour of Flanders dan Milan-San Remo.

Keputusan terbaiknya termasuklah menang Peringkat 1 (ujian masa berpasukan) di Vuelta 2019 dan Peringkat 5 Tour of Croatia 2018.

Yevgeniy Gidich, juara kebangsaan Kazakstan dan juara Asia masa kini adalah satu lagi senjata pasukan itu lebih-lebih lagi dia amat arif dengan perlumbaan di benua ini termasuk di Jelajah UAE, Tour of Thailand dan Tour of Qinghai Lake.

Pelumba lain yang dibawa termasuklah pelumba serba boleh Antonio Nibali dan bekas juara kebangsaan Kazakstan, Artyom Zakharov.

Edisi ke-26 PETRONAS LTdL 2022 bermula Peringkat 1 kayuhan sejauh 157.3km dari Kuala Pilah ke Kuala Lumpur, sebelum dilanjutkan dengan Peringkat 2 Kuala Klawang ke Raub (178.9km).

Pendakian mencabar ke Genting Highlands menunggu pada Peringkat 3 dari Putrajaya (131.9km), diikuti Peringkat 4 Sabak Bernam ke Meru Raya, Ipoh (137.9km), Peringkat 5 Kuala Kangsar-Kulim (172.0km),Peringkat 6 Georgetown-Alor Setar (120.4km), satu lagi pendakian mencabar dari Kuah ke Gunung Raya (Peringkat 7, 90.8km) di Pulau Langkawidan berakhir dengan kayuhan 115.9km Langkawi Loop pada Peringkat 8.

PETRONAS LTdL 2022 dijangka menjadi antara yang sengit berikutan kehadiran enam pasukan bertaraf World Team — UAE Team Emirates (UAE), Cofidis (Perancis), Lotto Soudal (Belgium), EF Education EasyPost (AS), Movistar (Sepanyol) dan Astana-Qazaqstan (Kazakhstan).

Empat pasuka ProTeam, Drone Harper-Androni Giocattoli (Itali), Uno X-Pro Cycling (Norway), Alpecin-Deceuninck (Belgium) dan Burgos-BH (Sepanyol) menambahkan lagi keghairahan menarik dalam jelajah kali ini.

Pasukan Continental tempatan, Terengganu Polygon Cycling Team dan Team Sapura Cycling adalah antara pasukan yang akan memberi cabaran, Mula Cycling Team dan Roojai Cycling Team dari Indonesia, ARA Pro Racing Sunshine Coast (Australia), China Glory Continental Cycling Team (China), ProTouch (Afrika Selatan) dan Kuwait Pro Cycling (Kuwait).

Pasukan serantau lain termasuklah Thailand Continental Team (Thailand), Team UKYO (Jepun), 7-Eleven Cliqq Air (Filipina) dan skuad kebangsaan Malaysia.

- Advertisement -