Bagi mengelak insiden ‘pergaduhan’ melibatkan pemain dan pasukan, Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) berharap semua pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia jelas dengan kontrak baharu yang telah dikuatkuasa pada 19 November lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif PFAM Izham Ismail berkata kontrak tersebut telah dipinda termasuk klausa baharu yang diharapkan dapat memastikan kepentingan kedua-dua pihak (pemain dan pasukan) terpelihara sepanjang tempoh kontrak itu.

Antaranya ialah prosedur yang harus dibuat oleh seseorang pemain yang mahu menamatkan kontrak kerana tidak menerima gaji yang berjumlah lebih dari dua bulan.

Ia susulan kes melibatkan pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh dan majikannya, Pahang pada musim ini.

Sumareh telah mengaktifkan klausa 8.7 yang terkandung dalam kontraknya bersama Pahang iaitu penamatan kontrak jika tidak dibayar gaji selama sebulan atau lebih.

Sementara itu, PFAM juga memberikan penekanan lebih jelas tentang status pemain yang tidak boleh ditamatkan kontrak akibat kecederaan dan prestasi.

ā€œYang paling utama adalah berkenaan kewujudan klausa Force Majeure, yang mana ia adalah klausa yang pertama kali diperkenalkan dalam sejarah kontrak bola sepak Malaysia, mengambil iktibar dari peristiwa pandemik COVID-19 yang telah memberi kesan sangat besar kepada bola sepak tempatan terutamanya terhadap kepentingan pemain dan pasukan.

ā€œPFAM menggesa agar setiap pasukan cakna berkenaan penggunaan kontrak yang baharu ini. Kami turut mengingatkan supaya pasukan tidak memasukkan terma tambahan yang bercanggah dengan terma asas di dalam kontrak ini,ā€ katanya menerusi kenyataan.

Sebagai contoh, beliau berkata biarpun sudah jelas seseorang pemain tidak boleh ditamatkan kontrak atas dasar prestasi tetapi masih ada pasukan yang melampirkan terma tambahan dengan meletakkan laporan prestasi sebagai syarat penamatan kontrak.

PFAM turut menyentuh mengenai penambahbaikan kepada perkara berkenaan prosedur berkaitan rungutan bagi hal-hal berkaitan kontrak, pelepasan pemain untuk panggilan tugas pasukan kebangsaan dan juga berhubung skim perlindungan insurans yang perlu diberikan perhatian terperinci di dalam kontrak.

Pada masa yang sama, PFAM turut mengingatkan semua ahlinya supaya melaksanakan obligasi kontrak dengan penuh dedikasi dan berintegriti serta tidak menggunakan kelebihan pada kontrak sebagai ā€˜perisaiā€™ untuk mengambil sikap sambil lewa dalam isu prestasi.

Izham juga mengingatkan pemain agar menggunakan perantara yang sah dan berdaftar bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi melindungi kepentingan mereka sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini, memandangkan FAM hanya akan mendengar tuntutan terhadap ejen, wakil atau perantara yang berdaftar sahaja.

 

- Advertisement -