mas-2

Oleh Ku Mohd Lufti

Tamat perjuangan Harimau Malaysia di kempen Piala AFF 2016 yang menyaksikan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee sekadar menamatkan saingan di peringkat kumpulan B.

Rentetan kegagalan skuad kebangsaan sebenarnya sudah bermula ketika Malaysia melakar kemenangan tipis 3-2 ke atas Kemboja dalam aksi pembukaan.

Cerita yang sama, komunikasi yang kurang berkesan, mentaliti pemain yang masih menanti pihak lawan untuk datang dan kemampuan untuk berfikir secara kritis ketika berdepan situasi berbahaya atau mencipta peluang yang berkesan antara aspek kelemahan yang ditonjolkan.

Tekanan di kem Malaysia memuncak selepas kekalahan kepada Vietnam dalam aksi kedua, sekaligus menambahkan lagi kekusutan dalam misi mencari gol dan kemenangan ke atas tuan rumah, Myanmar untuk melangkah ke separuh akhir.

“Kita tahu yang kita memerlukan gol dan bermula agak baik di mana banyak percubaan kita lakukan. Pada masa sama Myanmar juga mempunyai peluang.

“Tapi malangnya pada minit terakhir kita dibolosi kerana kita inginkan gol untuk layak.

“Bagi saya, pemain yang ada ini sudah memberikan segalanya yang mereka ada. Ini sudah maksimum yang boleh kita peroleh daripada mereka. Sudah tentu ada beberapa pemain muda yang perlu dilihat untuk membina pasukan pada masa akan datang.” Kata Datuk Ong Kim Swee.

 Tiga gol dan empat bolos sepanjang tiga perlawanan telah membuktikan dimana kedudukan Malaysia berbanding Kemboja, Vietnam malah tuan rumah Myanmar.

 Kemboja yang terpaksa bergelut dengan aksi playoff sebelum beraksi dalam saingan peringkat kumpulan mampu meledak empat gol, membuktikan aspek teknikal dalam bahagian serangan mereka lebih baik.

 Malah, Vietnam mampu merencanakan bahagian tengah yang cukup kemas dalam mengawal dan mencipta peluang peluang terbaik meskipun hanya mampu menang 1-0 ke atas Malaysia.

Hakikatnya Datuk Ong Kim Swee akur beliau telah gagal, namun bebanan itu tidak harus dipikul bekas pengendali Harimau Muda seorang.

 “Bagi diri saya, ini satu kegagalan di mana saya diletakkan KPI untuk menjuarai Piala Suzuki AFF 2016. Apabila gagal layak ke separuh akhir, bermakna saya gagal. Ini yang perlu saya fikirkan kenapa saya gagal dan banyak yang boleh kita lihat selepas pulang nanti.

“Saya tak tertekan. Ini kebiasaan bagi tugas seperti ini yang sudah sememangnya sentiasa dalam tekanan. Apabila satu KPI tidak tercapai, saya masih mempunyai dua lagi KPI untuk dilaksanakan.”katanya lagi.

Jiran Malaysia, Indonesia yang digantung oleh FIFA sebelum ini mampu membuktikan status mereka sebagai salah satu pasukan yang bekualiti dan berjaya melangkah ke separuh akhir.

FAM seharusnya malu dengan keputusan yang dipamerkan Sang Garuda, mampu mencipta sesuatu walaupun berdepan masalah.

Hentikan seketika misi memburu final atau sebarang trofi, tumpukan kembali kepada program pembangunan.

Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), Liga Kementerian Pelajaran Malaysia mungkin antara harapan yang tinggal untuk Malaysia selepas program Harimau Muda dihentikan.

Hakikatnya bolasepak Malaysia benar benar memerlukan revolusi dan transformasi menyeluruh untuk memulihkan luka yang semakin parah.

- Advertisement -