hariff.salleh

Oleh Ku Mohd Lufti

Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia, PKBM menyenaraikan 15 pelumba lebuh raya untuk menyertai program `Kita Juara 2017′.

Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Wahab berkata 15 pelumba itu yang majoritinya dari Terengganu dipilih berdasarkan 10 kriteria pemilihan yang ditetapkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

“Pada mesyuarat jawatankuasa lebuh raya pada 8 April lalu, kita sudah bersetuju menamakan pelumba dari pasukan benua Terengganu Cycling Team (TSG) dan pelumba kebangsaan untuk disenaraikan.

“Pada 20 April ini, kita akan kemukakan senarai ini dalam mesyuarat bersama MSN,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa lebuh raya bersama TSG, di Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Antara nama yang disenaraikan adalah pemenang pingat emas Sukan SEA 2015, Mohd Harrif Salleh disenaraikan bersama sama rakan sepasukan TSG, Mohd Adiq Hussaini Othman, Anuar Manan dan Mohd Zambri Salleh. Turut sama disenarai, pemenang juara keseluruhan Jelajah Malaysia 2013, Loh Sea Keong.

Senarai akhir pemilihan pelumba lebuhraya yang akan ke Sukan SEA 2017 akan dilakukan menerusi pemilihan yang akan dilakukan oleh jawatan kuasa panel pemilihan.

80 peratus daripada penilaian akan dijalankan dua jurulatih, Adam Szabo dan Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan, manakala bakinya menerusi wakil daripada MSN.

Pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PKBM dan MSN 9 Mac lalu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail menolak cadangan senarai pelumba dan jurulatih yang dicadangkan oleh PKBM.

- Advertisement -