Jumaat ini bakal menjadi penentu pasukan manakah antara Kuala Lumpur dan Terengganu akan bergelar juara trofi 100Plus Liga Premier 2017.

Kedua-dua pasukan ketika ini terikat dengan 47 mata namun Kuala Lumpur bimbingan Fabio Maciel da Silva sedang menerajui carta liga menerusi beza jaringan.

Dengan beza jaringan yang cukup besar (lapan gol) menuju ke perlawanan terakhir, Kuala Lumpur akan muncul juara seterusnya menamatkan kemarau trofi selama 17 tahun andai berjaya menewaskan Johor Darul Takzim II di Stadium Pasir Gudang.

Namun kegagalan mengutip mata penuh akan menyaksikan skuad warga kota berputih mata dan terpaksa melepaskan kejuaraan kepada Terengganu jika pasukan bimbingan Irfan Bakti itu berjaya menewaskan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) di Stadium Ipoh.

Kalaupun JDT II berjaya untuk menyekat Kuala Lumpur dari melakar kemenangan, sang penyu pastinya sedar untuk menewaskan pasukan liat seperti PKNP di gelanggang mereka bukanlah satu tugas mudah apatah lagi skuad bimbingan Abu Bakar Fadzim itu hanya tewas sekali sahaja di Ipoh sepanjang musim ini.

Malah, PKNP telah mengharungi musim pertama yang cukup cemerlang dalam ketiga-tiga kempen Liga Malaysia iaitu mara ke suku akhir Piala FA serta Piala Malaysia dan kini berpotensi menamatkan saingan Liga Premier di kedudukan ketiga.

Abu Bakar mengakui keyakinan di kem PKNP sedang memuncak ketika ini apatah lagi ia juga akan menjadi aksi terakhir sebelum Stadium Ipoh ditutup bagi kerja pengubahsuaian bersempena Sukan Malaysia (SUKMA) 2018.

“Kita tahu Terengganu datang ke sini dengan motivasi tinggi, mereka sudah layak ke Liga Super dan mahu akhiri musim dengan kemenangan seterusnya merangkul kejuaraan.

“Tetapi kita juga ada misi tersendiri, pasukan ini telah tunjukkan satu prestasi yang cemerlang sepanjang tahun ini dan kejayaan menduduki tempat ketiga akan menjadi hadiah terbaik buat semua anggota pasukan,” ujar Abu Bakar yang mengharapkan kehadiran penyokong akan menyuntik tonik tambahan dalam diri setiap pemain.

Empat lagi aksi Liga Premier yang akan berlangsung pada Jumaat adalah membabitkan pertemuan Sabah dan Negeri Sembilan, MISC-MIFA menentang PDRM, UITM menentang Kuantan FA manakala ATM melayan kunjungan Perlis.  – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -