jdt.pkns.1

Oleh Ku Mohd Lufti

Naib juara Liga Perdana 2016, PKNS FC menghantar semula borang permohonan untuk menyertai Liga Malaysia (Liga-M) 2017 kepada syarikat yang menguruskan liga M Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP).

Presidennya, Siti Zubaidah Abd Jabar menerusi kenyataan media memaklumkan, penyertaan mereka dalam Liga-M musim depan, mendapat sokongan daripada Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBSMM).

PKNS FC bersetuju menjadi ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Melayu Selangor (PBMS) baru baru ini selepas gagal mencapai kata sepakat dengan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

 FAS sebelum ini, dilaporkan tidak ‘merestui’ permohonan PKNS FC untuk menyertai Liga M bagi musim depan kerana dikatakan menghantar permohonan rasmi terus kepada FMLLP tanpa melalui FAS terlebih dahulu.

“Kesudian Persatuan Bola Sepak Melayu Selangor khasnya melalui Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia menyokong pasukan PKNS FC menyertai Liga Malaysia 2017 seharusnya dipandang tinggi semua pihak sebagai sebuah persatuan berjiwa besar dan mempunyai semangat kesukanan tulen dalam memperluaskan perkembangan bakat bola sepak khususnya di Selangor,” kata Siti Zubaidah.

Tambahnya lagi, persetujuan PKNS FC untuk menjadi ahli gabungan kepada PBMS tidak akan menjejaskan aspirasi dan matlamat yang sekian lama terpahat dalam dada pemain dan pegawai pasukan berkenaan yang komited ke arah pembangunan bola sepak di Selangor.

“Menjadi harapan kami dan saya percaya ia juga menjadi harapan semua peminat bola sepak dari seluruh negara ingin melihat pasukan PKNS FC turut memberi saingan dalam Liga Malaysia 2017 di samping pasukan-pasukan lain,” katanya.

Artikel 4.1.3(I) Liga-M mensyaratkan hanya pasukan kelab yang dicalonkan dan disokong persatuan bola sepak negeri dan mematuhi peraturan FAM, layak menyertai Liga-M.

- Advertisement -