Norazlan Razali (lahir 19 Disember 1985) adalah penjaga gol bagi pasukan Selangor FA bagi musim 2016. Photo - Kamarul Akhir/www.asiana.my - All Sports Images and News Agency
Norazlan Razali (lahir 19 Disember 1985) adalah penjaga gol bagi pasukan Selangor FA bagi musim 2016. Photo – Kamarul Akhir/www.asiana.my – All Sports Images and News Agency

Oleh Muhammad Aiman

Dua kesilapan Norazlan Razali yang menyaksikan Selangor mencicirkan dua mata berharga ketika menentang Kelantan dalam aksi Piala Malaysia pada Rabu lalu, memaksa pengendali Zainal Abidin Hassan mengambil keputusan drastik menggugurkan penjaga gol itu dari kesebelasan utama pasukan apabila menentang Pulau Pinang malam ini.

Norazlan menjadi punca Red Giants berputih mata, apabila menghadiahkan sepakan percuma di dalam kotak penalti yang membawa kepada gol pertama Kelantan, serta gagal menangkap rembatan lemah Abdul Manaf Mamat di masa kecederaan tatkala Selangor melepaskan kelebihan dua gol untuk berpuas hati dengan keputusan seri 3-3 di Stadium Shah Alam.

Dengan Selangor berdepan Pulau Pinang – satu-satunya pasukan Liga Super yang tidak beraksi dalam saingan Piala Malaysia musim ini di gelanggang lawan di Stadium Bandaraya – serta sedang berusaha keras mengejar kedudukan JDT dan Felda United, Zainal menegaskan mereka tidak lagi boleh melakukan kesilapan dan mencicirkan sebarang mata.

Aksi pemain Kelantan Mohd Badhri Radzi(merah) di hadapan gawang penjaga gol Selangor; Norazlan Razali dalam perlawanan Liga Super 2016 di Stadium Sultan Mohd IV Stadium. Photo - Hazmin Hussin/www.asiana.my - All Sports Images and News Agency
Aksi pemain Kelantan Mohd Badhri Radzi(merah) di hadapan gawang penjaga gol Selangor; Norazlan Razali dalam perlawanan Liga Super 2016 di Stadium Sultan Mohd IV Stadium. Photo – Hazmin Hussin/www.asiana.my – All Sports Images and News Agency

“Norazlan beraksi dengan baik dalam dua perlawanan terdahulu tetapi prestasinya ketika menentang Kelantan sangat tidak memuaskan. Mungkin saya akan merehatkannya dan memberi Khairul Azhan peluang beraksi.

“Kita mempunyai peluang yang cukup tinggi untuk menang malam ini dan merapatkan jurang dengan pendahulu, kami tidak rela cicirkan lagi mata tetapi dalam masa sama kami tidak boleh memandang rendah Pulau Pinang di sebalik kedudukan mereka di tangga tercorot,” ujar Zainal.
Menambah kegusaran Zainal adalah tahap kecergasan pemainnya tatkala skuad Harimau Kumbang yang tidak beraksi pada pertengahan minggu dijangka dapat menurunkan barisan terbaik mereka.

“Kita sedang melalui jadual saingan yang padat, jadi saya perlu pastikan pemain-pemain cergas dan bebas dari kecederaan. Ukah (Ugochukwu) dan R.Gopinathan telah kembali menyertai latihan setelah mengalami kecederaan ketika menentang Kelantan dan saya sangat berharap dapat menurunkan mereka.

“Pulau Pinang pula mempunyai rehat yang cukup selama seminggu dan sudah tentunya ini menyukarkan kita, namun kita tidak boleh terus mengeluh mengenai jadual dan hanya boleh harapkan aksi terbaik dari pemain,” kata bekas ketua pasukan kebangsaan itu.

Selangor ketika ini ketinggalan jauh 11 mata di belakang pendahulu Johor Darul Takzim dan enam mata di belakang pasukan tangga kedua Felda United.

- Advertisement -