Eric Williams

Bekas pengendali skuad kebangsaan, Datuk K.Rajagobal disebut-sebut sebagai pilihan hangat untuk mengambil alih jawatan ketua jurulatih Melaka United dari Eric Williams, bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia musim ini.

Ianya disahkan sendiri oleh Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Datuk Wira Yusoff Mahadi namun menurutnya MUSA turut sedang menilai dua lagi calon iaitu bekas jurulatih Kedah dan Negeri Sembilan, Azraai Khor Abdullah serta Hassan Sazali Waras yang pernah membimbing pasukan Harimau Muda C.

“Kita akan umumkan siapa di antara mereka yang akan memikul tanggungjawab memulihkan prestasi pasukan dalam tempoh terdekat. Kita tahu semua calon itu berkredibiliti umpamanya Rajagobal berpengalaman luas di pentas antarabangsa. Jadi kita tengok secara menyeluruh dan buat keputusan,” katanya.

Nama K.Devan turut dikaitkan namun bekas jurulatih Selangor itu baru sahaja menyertai kelab Liga Premier, MISC-MIFA sebagai Pengarah Teknikal manakala Yusoff menafikan MUSA ada membuat cubaan untuk mendapatkan semula bekas jurulatihnya, Mat Zan Mat Aris yang membimbing pasukan itu layak beraksi di Liga Super.

Rajagobal ketika ini tidak bersama mana-mana pasukan setelah melepaskan jawatannya bersama Sarawak pada musim lalu dan begitu juga dengan Azraai yang mengambil keputusan berehat seketika dari arena kejurulatihan setelah meninggalkan Kelantan pada 2015.

Untuk rekod, Melaka yang dikatakan mampu mencabar kejuaraan Liga Super setelah berbelanja besar pada awal musim gagal menepati ekspetasi itu apabila menduduki tangga kesebelas setelah mencatat hanya dua kemenangan dan lima keputusan seri dalam 13 perlawanan yang telah diharungi.

Prestasi hambar yang ditunjukkan termasuk tewas besar 0-7 kepada Johor Darul Takzim menyaksikan Williams yang dibawa masuk menggantikan Mat Zan pada awal musim direhatkan ketika perlawanan menentang Felda United pada 24 Mei dan dia sudahpun diberitahu bahawa khidmatnya akan ditamatkan.

Selain Liga Super, Melaka juga akan turut beraksi dalam saingan Piala Malaysia di mana mereka diundi di dalam Kumpulan C bersama Kedah, Kelantan dan Uitm FC justeru kehadiran jurulatih baru sudah pastinya diharap akan dapat memperkasakan persiapan mereka. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -