abdul-latif-romly

Oleh Ku Mohd Lufti

Dua pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016, Mohamad Rizuan Mohd Puzi dan Abdul Latif Romly menerima ganjaran daripada kerajaan Negeri Perlis.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Azlan Man mengumumkan, dua atlet kelahiran Perlis itu bakal menerima wang tunai RM 100 000 seorang serta projek pembangunan di Felda Rimba Mas, Padang Besar dan Kampung Paya Kelubi , Bukit Keteri yang merupakan tempat tinggal bagi Rizuan dan Latif.

“Kerajaan negeri amat berbangga dan berbesar hati dengan kejayaan dua permata Perlis ini. Jadi saya dengan sukacita menambah ganjaran berbentuk wang tunai berjumlah RM100,000 seorang kepada mereka berdua.

“Saya juga ingin memberitahu, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah turut bersedia memberi sejumlah peruntukan kepada kerajaan negeri untuk keperluan pembangunan kampung yang menjadi tempat tinggal kedua-kedua atlet ini,” kata Datuk Seri Azlan.

Tambah Datuk Seri lagi, segala bentuk projek pembangunan yang bersesuaian dan diperlukan Felda Rimba Mas dan Kampung Paya Kelubi akan diusahakan pihaknya.

“Atas kecemerlangan mereka berdua, segala bentuk projek yang diperlukan kedua-dua kampung yang menjadi tempat tidur, bangun dan bermain mereka ini, akan kita usahakan.” Katanya lagi.

Mohd Rizuan Mohd Puzi menghadiahkan emas menerusi acara pecut 100 Meter T 36 manakala Abdul Latif Romly pula menyumbangkan emas ketiga Malaysia menerusi acara lompat jauh kategori T 20.

- Advertisement -