Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) melalui Jawatankuasa Pertandingan telah menetapkan tarikh penganjuran Kejohanan TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2022, Lelaki dan Wanita adalah pada 18 Februari hingga Jun 2022.

Bagaimanapun tarikh bagi berakhirnya liga tersebut masih belum diputuskan. Ini kerana Jawatankuasa Pertandingan KHM akan mengambil kira jumlah pasukan yang mengesahkan penyertaan sebelum menetapkan tarikh berakhirnya kejohanan tersebut.

Dalam satu sidang media yang berlangsung di pejabat KHM hari ini, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan, Dato’ Sri Dr. Anil Jeet Singh turut menyatakan sekiranya KHM menerima jumlah penyertaan pasukan yang tinggi, jawatankuasanya akan mempertimbangkan untuk mewujudkan kembali saingan Divisyen 1.

“Selepas berakhirnya Mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan pada minggu lalu, kami telah menetapkan Kejohanan TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2022 akan diadakan pada 18 Februari 2022.

“Penganjuran kejohanan pada tahun ini juga akan kembali kepada format liga iaitu perlawanan akan dijalankan secara timbal balik dan tidak akan dijalankan mengikut formal Karnival seperti tahun lalu.

“Perlawanan Sumbangsih akan berlangsung pada hari pembukaan iaitu 18 Februari di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil dengan Juara TNB MHL 2021 iaitu Universiti Kuala Lumpur (UniKL) akan bertemu Juara Piala TNB 2021, Terengganu Hockey Team (THT).

“Semua perlawanan timbal balik akan berlangsung di Semenanjung Malaysia dan Jawatankuasa Kerja TNB MHL 2022 akan melakukan pemeriksaan padang-padang hoki yang boleh dijadikan sebagai venue perlawanan.

“Bagi menghormati Bulan Ramadan, liga akan berehat pada satu bulan tersebut dan akan disambung kembali selepas itu.

“Pasukan yang mengambil bahagian dibenarkan untuk mendaftarkan pemain kebangsaan dan pemain import. Namun dalam satu-satu perlawanan, hanya enam pemain campuran import dan pemain kebangsaan dibenarkan untuk berada di dalam padang.

“Pasukan yang ingin mendaftarkan pemain import perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya untuk mendapatkan kebenaran dan pelepasan bagi pemain tersebut ke Malaysia untuk menyertai saingan liga,” jelas Dato’ Sri. Dr Anil Jeet Singh.

Untuk rekod, Kejohanan TNB MHL 2021 telah dilangsungkan secara berpusat dan menggunakan format karnival gelembung sukan ekoran penularan Pandemik Covid-19 dengan lapan pasukan lelaki dan enam pasukan wanita mengambil bahagian.

- Advertisement -