sam (2)

sam (3)

Oleh Muhammad Aiman

Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) menjanjikan pengalaman liputan terbaik buat rakan-rakan media tempatan dan seluruh Asia Tenggara di temasya Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.

Presiden SAM, Ahmad Khawari Isa berkata ia adalah satu daripada cabaran besar yang akan digalas barisan kepimpinan baru SAM pada tahun hadapan selain menjadi tuan rumah Kongres Tahunan Persatuan Media Sukan Antarabangsa (AIPS) Asia dan mengajak seluruh warga persatuan itu untuk bersama-sama memainkan peranan dalam menjayakan hasrat tersebut.  

“Kita tidak mahu insiden seperti di Singapura (2015) di mana petugas media Malaysia menghadapi kekangan, masalah, pergeseran dengan petugas-petugas Sukan Sea berulang di Malaysia.

“Jadi saya berharap seluruh warga SAM akan bantu jayakan kemudahan media bukan sahaja buat ahli SAM dan petugas media tempatan, tetapi rakan media dari seluruh Asia Tenggara yang dijangka beberapa ribu orang jumlahnya yang akan hadir membuat liputan nanti,” kata Khawari.

Khawari, ketua kakitangan Astro Arena bercakap kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Dwitahunan SAM bagi penggal 2016-2108 yang mana beliau mempertahankan jawatannya buat penggal kelima berturut-turut setelah menang tanpa bertanding.

Turut mengekalkan jawatan dengan menang tanpa bertanding adalah Asan Ahmad (Kosmo) bagi jawatan timbalan presiden, Norismadi Abdul Manap (RTM) dan Izahar Atan (Karangkraf) bagi jawatan naib presiden, Faisal Jamal (RTM) sebagai setiausaha agong dan Ali Majid (Berita Harian) sebagai setiausaha kewangan.

Manakala lima individu yang dipilih sebagai Ahli Majlis (Exco) selepas melalui pertarungan tujuh penjuru adalah Hafizal Hamad (Astro Arena), Farhanah Azmi (Bernama), Hussein Said (Berita Harian), Yu Nee Keong (Sin Chew) dan Tumpang Sabtu (RTM).

Majlis AGM SAM itu telah dirasmikan oleh Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia, Dato’ Low Beng Choo, dan dihadiri lebih 70 ahli SAM. 

Sementara itu, Khawari turut memberitahu bahawa beliau telah menyuarakan kebimbangan petugas media mengenai penularan virus Zika sepanjang membuat liputan Sukan Olimpik Rio De Janeiro di Brazil Ogos depan kepada Beng Choo.   

“Dato’ Low telah mengambil kira pandangan, dan berjanji akan bincang dan memastikan bukan sahaja keselamatan dan juga kesihatan semua petugas media akan dipantau, tetapi mereka juga akan mendapat layanan sama seperti mana layanan diterima oleh atlet yang bertanding di Rio.”

- Advertisement -