kelantan

Oleh Muhammad Aiman

Selangor memulakan misi mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia dengan langkah kanan setelah menundukkan Kuala Lumpur 1-0 dalam aksi Kumpulan B yang berlangsung di Stadium Shah Alam pada Selasa.

Tatkala perlawanan menuju wisel penamat dengan keputusan seri tanpa jaringan, Adam Nor Azlin yang masuk menggantikan Ahmad Hazwan Bakri pada minit ke-86 muncul wira gergasi merah kuning apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan dua minit sebelum tamat sekaligus mengecewakan hasrat warga kota untuk sekurang-kurangnya mengutip satu mata.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan B di Kota Bharu, Kelantan turut mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Pahang menerusi jaringan tunggal Wan Zaharulnizam Wan Zakaria seawal minit ketiga.

Sementara itu, kejutan berlaku dalam aksi Kumpulan C di Larkin, apabila PKNS Selangor menjaringkan dua gol dalam tempoh tujuh minit terakhir untuk bangkit dari ketinggalan 0-2 dan mengikat tuan rumah Johor Darul Takzim 2-2.

Gol jaringan ayam tambatan Gabriel Guerra pada minit ke-83 dan sepakan penalti disempurnakan Juan Manuel Cobelli pada minit akhir permainan, memadam kelebihan JDT yang sebelum itu mendahului menerusi jaringan Safee Sali (m-47) dan Juan Martin Lucero (m-56).

Dalam aksi Kumpulan A di Kuala Terengganu, T-Team mensesiakan kelebihan dua gol apabila membenarkan JDT II untuk bangkit mengikat kedudukan 2-2 dan membawa pulang satu mata.

T-Team mendahului menerusi jaringan Dilshod Sharafedinov pada minit kelima dan Norhakim Hassan pada minit ke-16 sebelum JDT II membalas di babak kedua menerusi Zaquan Adha Abdul Radzak (m-46) dan Paolo Rangel empat minit kemudian.

Aksi Kumpulan D pula menyaksikan Felda United menewaskan Negeri Sembilan 3-1 di Stadium Bandar Tun Razak – gol buat skuad Irfan Bakti dijaringkan oleh Christie Jayaseelan dan Francis Forkey Doe (dua gol) manakala Anas Rahmat menjaringkan gol saguhati pasukan pelawat.

Melaka pula mengejutkan pasukan Liga Super, Terengganu di Stadium Hang Jebat apabila melakar kemenangan 2-1 menerusi jaringan Ilija Spasojevic dan R.Surendran sementara gol tunggal sang penyu dijaringkan Bogdan Milic.

- Advertisement -