hockey

Oleh Muhammad Aiman

Pasukan hoki wanita Selangor tampil garang dalam aksi pembukaan Kumpulan A yang juga aksi sulung membabitkan pasukan wanita di Kejohanan Hoki Piala Razak 2016, apabila membelasah Sarawak 5-2 di  Stadium Hoki Bukit Jalil pagi tadi.

Selangor yang turun ke kejohanan ini dengan mempertaruhkan kudrat pemain muda yang merupakan anggota skuad juara Kejohanan Hoki B-16 Kebangsaan tahun lalu, membuka jaringan seawal minit keempat menerusi jaringan padang Nurul Aida Abdul Razak.

Sarawak bagaimanapun berhasil menyamakan kedudukan tujuh minit kemudian menerusi Suhaila Sata seterusnya mendahului Selangor 2-1 setelah Vantariyana Anak Piah menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-24.

Skuad bimbingan Wan Samsuri Hassan hanya mengambil dua minit untuk kembali mengikat kedudukan menerusi Fatin Shafika Mohd Sukri, untuk kedudukan 2-2 di separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Selangor tidak lagi memberi ruang kepada Sarawak dan menambah tiga lagi jaringan hasil sentuhan Nurul Safikah Mat Isa (m-33), Nurain Hidayah (m-55) dan juga pukulan sudut penalti Ellya Shahirah Elias pada minit ke-57.

Kemenangan membolehkan Selangor mendahului kedudukan Kumpulan A mengatasi Johor yang turut merakam kemenangan pada aksi pembukaan, menerusi beza jaringan.

Menanti Selangor dalam perlawanan kedua pada Ahad, adalah Pahang yang tidak turun beraksi hari ini.

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A, Johor mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas PDRM menerusi dua gol jaringan ketua pasukan Hanis Nadiah Onn pada minit ke-23 dan 40.  

Gol saguhati PDRM dijaringkan menerusi pukulan sudut penalti oleh Suzanne Anak Majang pada minit ke-57.  

Aksi Kumpulan B pula menyaksikan Sabah muncul pendahulu setelah membelasah Negeri Sembilan 4-1 manakala ATM menundukkan Terengganu 3-1, terima kasih kepada dua jaringan Siti Rahmah Othman dan satu gol Nurul Nabihah Mansur.

Untuk rekod, liga membabitkan pasukan wanita pertama kali dipertandingkan di Piala Razak di mana 12 pasukan negeri serta PDRM dan ATM mengambil bahagian. Hanya Kelantan dan Perlis memilih untuk tidak menghantar pasukan wanita ke kejohanan ini.

- Advertisement -