Oleh Muhammad Aiman
Selangor mahu memanfaatkan sebaiknya prestasi merudum awal musim yang ditunjukkan PKNS FC untuk kembali ke landasan kemenangan, apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi Liga Super, Sabtu ini.
Selangor yang membuka kempen musim baru dengan kemenangan ke atas Pulau Pinang, gagal mengekalkan momentum itu apabila sekadar seri 1-1 menentang Melaka United minggu lalu, tatkala PKNS FC pula tewas kedua-dua perlawanan pertama mereka kepada Felda United dan Kelantan.
Justeru, pengendali Selangor, P.Maniam menuntut pemainnya untuk berada pada prestasi terbaik bagi menambah luka skuad kendalian E.Elavarasan itu apatah lagi kedua-dua pasukan bertemu buat pertama kali setelah hubungan âadik-beradikâ di antara mereka menjadi renggang gara-gara kemelut pengurusan.
Untuk rekod, hubungan Selangor dan PKNS yang sebelum ini dilihat baik dan saling memerlukan menjadi keruh apabila Persatuan Bolasepak Selangor enggan memberi sokongan kepada PKNS untuk menyertai Liga Super sekaligus memaksa pasukan berstatus kelab itu mencari alternatif lain dengan menjadi ahli gabungan Persatuan Bolasepak Melayu Selangor.
âSaya mahu pemain memberi fokus penuh kepada perlawanan ini, jangan fikir mengenai perkara lain. Adalah penting untuk saya mempersiapkan pasukan agar dapat bermain dengan semangat yang tinggi namun prosesnya bukan mudah.
âMemang masih banyak aspek perlu diperbaiki setelah keputusan seri dengan Melaka tempoh hari, dan saya rasa pemain tahu apa yang perlu mereka lakukan. Kita sedang bekerja keras, dan kita inginkan tiga mata namun saya ingatkan pemain agar tidak memandang rendah keupayaan PKNS walaupun mereka tewas dua perlawanan awal.
âLagipun persiapan mereka lebih baik dari kita, mereka ada ramai pemain berpengalaman berbanding kita yang mempertaruhkan ramai bakat-bakat muda,â kata Maniam.
Ketika menentang Melaka pada Sabtu lalu, Selangor bangkit menyelamatkan satu mata menerusi tandukan pemain import, Victor Astafei setelah Melaka terdahulu berada di depan menerusi jaringan Khairul Azrin. Manakala PKNS tewas kepada Kelantan menerusi dua jaringan Mohamed Ghaddar dan Badhri Radzi.