mat-zan-melaka

Oleh Ku Mohd Lufti

Teka teki mengenai status pengendali Melaka United, Mat Zan Mat Aris terjawab apabila pengurusan kelab itu tidak melibatkannya untuk mengharungi aksi Liga Super musim depan.

Mat Zan mempunyai pelan jangka panjang untuk pasukan itu, namun hasrat itu tampak tinggal kenangan selepas tidak mendapat kepercayaan pengurusan Melaka United untuk beliau mengemudi pasukan itu musim depan.

“Memang saya ada impian tetapi bila jadi macam ini, saya rasa terkilan terutama dengan kenyataan yang dibuat pengurusan Melaka United.

“Bila dah jadi macam ini, saya nak buat macam mana? Mereka yang buat keputusan kerana mereka orang atasan dan ada hak, kalau mereka tidak mahu kita, kenapa kita nak pergi merayu…maaflah,” katanya.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United, Datuk Mohd Yusoff Mahadi sebelum ini turut mengumumkan hanya 10 pemain ditawarkan kontrak baharu termasuk penjaring terbanyak Liga Perdana, Ilija Spasojevic yang menghasilkan 24 gol.

Mat Zan juga mendedahkan pwngurusan Melaka United langsung tidak pernah membincangkan atau membangkitkan tentang kontrak baharu kepadanya walaupun kontraknya tamat sejak Ogos lepas.

“Saya tetap teruskan tanggungjawab walaupun tidak ada kontrak kerana masih ada perlawanan yang perlu diharungi. Pada masa itu, pemain pun turut tertekan sebab tiada kata putus mengenai status mereka dan saya terpaksa memberi motivasi kepada mereka,” katanya.

Mat Zan mengakui menerima tawaran daripada pasukan lain, namun ia masih belum diputuskan.

“Saya juga harap Melaka United akan pergi lebih jauh walaupun bukan bersama saya. Begitu juga dengan penyokong pasukan agar mereka terus menyokong dan berada di belakang Melaka United dalam apa jua keadaan,” katanya.

- Advertisement -