Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) dengan sukacitanya ingin memaklumkan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah mengampuni perkenan untuk menjadi PENAUNG DIRAJA persatuan ini.

Perkara ini dimaklumkan oleh Setiausaha Sulit Kanan kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI, Kolenal (B) Datuk Nazim Mohd Alim melalui surat daripada Istana Negara yang diterima SAM.

Penaung SAM sebelum ini ialah Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah. SAM yang diketuai Presiden, Jasni Shafie telah menghadap KDYMM Yang di-Pertuan Agong pada 30 Oktober lalu untuk mempersembahkan hasrat mempersilakan Seri Paduka Baginda untuk menjadi PENAUNG DIRAJA SAM bagi menggantikan Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang telah menjadi Penaung Diraja yang pertama sejak penubuhan SAM.

“Dengan perkenan Seri Paduka Baginda untuk menjadi Penaung Diraja SAM ini, ia adalah pengiktirafan tertinggi kepada penggiat media sukan tanahair dan melambangkan minat serta keprihatinan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong terhadap sukan negara yang tidak berbelah-bahagi.

“Keprihatinan dan minat serta latar belakang KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku dalam arena sukan tempatan dan antarabangsa memberikan kami keyakinan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku adalah calon paling tanjak dan tepat meneruskan legasi Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah sebagai Penaung Diraja persatuan ini.’’ kata Presiden SAM, Jasni Shafie.

SAM berharap melalui perkenan ini, ia akan memberikan semangat dan keyakinan kepada ahli-ahli untuk terus membantu pembangunan sukan negara melalui laporan yang berwibawa dan dihormati di media massa.

Sebelum ini, SAM yang menaungi penulis dan pengamal media sukan seluruh negara berbangga apabila KDYMM Yang di-Pertuan Agong telah berkenan berangkat ke Majlis Anugerah SAM-100 Plus dan Sambutan Ulangtahun 50 Tahun Penubuhan SAM di sebuah hotel terkemuka di ibu negara pada 10 April 2019.

- Advertisement -