Pertahanan Kedah, Irfan Zakaria, tidak rela menjadikan keputusan seri sebagai matlamat utama pasukan sebaliknya mahu mendapatkan tiga mata penuh bagi membawa skuad Lang Merah merasai saingan Piala AFC pada musim 2021.

Namun Irfan sedar tugas berat bakal menantinya pada kali ini untuk menjaga kelibat Shahrel Fikri, penyerang Perak yang semakin berada di puncak prestasi selepas meraih lima gol dalam dua perlawanan terakhir CIMB Liga Super.

“ Saya cukup mengenali Shahrel dan memang buat masa sekarang, semua orang boleh lihat dia berada di tahap terbaik, maka saya dapat rasakan bukan satu tugas mudah bagi mengawal Shahrel.

“ Tengok dalam beberapa perlawanan yang lalu, sentuhan penyudah dimiliki Shahrel ternyata semakin tajam dan saya rasa kita tidak boleh berikan banyak ruang kepadanya.

“Kami datang ke Ipoh kerana mahu mendapatkan kemenangan dan bukannya sekadar satu mata, malah saya secara peribadi cukup teruja mahu beraksi di Piala AFC.

“Memori ketika membantu Kedah di saingan play-off Liga Juara-juara Asia (ACL) membuatkan saya cukup teruja untuk lalui pengalaman yang sama pada musim depan,” katanya.

Antara aksi berlangsung pada Sabtu ini membabitkan Melaka yang menerima kunjungan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Hang Jebat selain PJ City FC bertemu PDRM di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya manakala di Stadium UiTM Shah Alam, Selangor bakal melayani kunjungan Felda United FC.

Terengganu FC yang berpeluang menamatkan saingan di tangga ketiga CIMB Liga Super akan menentang Pahang di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Ahad sementara aksi Sabah dan UiTM FC di Stadium Likas terpaksa ditunda ekoran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula sejak 7 Oktober lalu.

- Advertisement -