Pemain boling elit wanita negara, Sin Li Jane menduduki tempat kedua dan memperoleh pingat perak buat negara dalam acara Masters Wanita di Kejohanan Boling Dunia di Las Vegas, Amerika Syarikat pada Isnin (Selasa di Malaysia).

Dalam perlawanan akhir berlangsung di South Point Bowling Center, Las Vegas, Li Jane memberikan cabaran sengit tetapi tewas 225-256, 221-236 kepada juara bertahan, Jung Da-wun dari Korea Selatan.

Bagaimanapun, usaha Li Jane memastikan Malaysia mengakhiri kempen kejohanan dunia dengan bergaya selepas memperoleh satu emas dan tiga perak kali ini, terbaik dalam pungutan pingat negara selepas memenangi dua perak dan satu gangsa dalam edisi Abu Dhabi pada 1999.

Semalam, pasukan boling wanita terdiri daripada Li Jane, Shalin Zulkifli, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi dan Natasha Roslan mengakhiri kemarau 10 tahun negara untuk memenangi pingat emas dalam acara lima berpasukan.

Sebelum itu, Malaysia memperoleh pingat perak menerusi Shalin dan Li Jane dalam beregu wanita sementara Siti Safiyah menyumbangkan satu perak dalam semua acara wanita.— BERNAMA

- Advertisement -