SAINGAN hoki TNB Piala Tun Abdul Razak Ke-60 Kategori Lelaki, yang akan bermula esok di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, dijangka lebih sengit dan menarik dengan penyertaan skuad kebangsaan Singapura buat pertama kalinya, tahun ini.

Begitu juga, saingan Kategori Wanita Edisi ke-7 yang dijadualkan bermula Jumaat, 7 Oktober di venue yang sama, turut akan disertai skuad kebangsaan Singapura.

Biar pun disertai keseluruhannya 22 pasukan – iaitu 13 pasukan Lelaki dan 9 pasukan wanita — saingan musim ini dijangka tetap meriah dengan penyertaan Singapura yang pasti memberi saingan kepada pasukan tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Seri Anil Jeet Singh, dalam sidang media mengumumkan TNB Piala Tun Razak 2022 hari ini berkata, selain penyertaan Singapura, jumlah hadiah wang bagi pemenang tahun ini juga akan mengalami sedikit perubahan.

“Butiran lanjut mengenai jumlah hadiah sebenar bagi pemenang tahun ini adakan diumumkan dalam masa terdekat,” kata beliau.

Sembilan pasukan dalam =Kategori Lelaki dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu juara bertahan Perak, Terengganu, Kuala Lumpur, ATM, Negeri Sembilan dan Johor dalam Kumpulan A.

Manakala Kumpulan B Lelaki dibarisi Pahang, Melaka, PDRM, Selangor, Pulau Pinang, Perlis dan Singapura.

Bagi saingan Wanita, Kumpulan A dibarisi juara bertahan Kuala Lumpur, Melaka, Selangor dan Terengganu manakala Kumpulan B pula Pahang, Pulau  Pinang, Negeri Sembilan, ATM dan Singapura.

Tahun lepas, sebanyak 14 pasukan Lelaki dan 12 pasukan wanita menyertai saingan dengan Perak muncul juara menumpaskan Pahang 2-1 dalam kategori Lelaki.

Kuala Lumpur pula dinobat juara 2021 selepas menewaskan Pahang 1-0.

Dalam pada itu, kedua-dua juara bertahan Lelaki dan Wanita menyambut baik penyertaan Singapura yang dianggap mampu memberi pengalaman berharga terutamanya kepada pemain-pemain muda.

Ketua pasukan Perak, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan berkata penyertaan Singapura akan memberi pengalaman berguna kepada pemain terutamanya mereka yang belum pernah merasai saingan peringkat antarabangsa.

Ketua pasukan Wanita Kuala Lumpur, Nur Syafiqah Mohd Zain pula berharap selain Singapura, pasukan-pasukan lain terutama dari kalangan negara Asia Tenggara dapat menyertai saingan Piala Razak selepas ini.

“Pastinya, ia akan membantu dari segi pendedahan terutamanya bagi pemain-pemain muda dalam skuad negara untuk mengukur kemampuan bersaing dengan pasukan dari negara lain,’ kata beliau.

- Advertisement -