mas-hockey

Oleh Muhammad Aiman

Pasukan hoki remaja negara menerima perkhabaran gembira apabila mendapat jemputan dari Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) untuk menyertai Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki Uttar Pradesh, di Lucknow yang akan berlangsung dari 8 hingga 18 Disember depan.

Jemputan saat akhir itu hadir selepas FIH secara rasminya menarik balik penyertaan pasukan Pakistan dalam kejohanan itu.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Dato’ Sri Subahan Kamal berkata, “MHC dimaklumkan oleh FIH pada pagi ini (Selasa) untuk menyertai kejohanan tersebut. Dari segi merit oleh FIH, Malaysia adalah pasukan terbaik yang layak untuk dijemput ke saingan Piala Dunia Remaja di India.”

“Perkara ini telah dibincangkan dengan ahli Lembaga Eksekutif hari ini dan mereka bersetuju untuk menyertai saingan itu selepas mengambil kira nasihat daripada Datuk Ow Soon Kooi (Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan) dan Terry Walsh (Pengarah Teknikal).”

Tambahnya lagi, “Pasukan remaja akan mengambil bahagian dalam Piala Dunia Remaja Lelaki. Jadi ianya satu pengalaman dan pendedahan yang baik kepada pasukan,” tambah Dato’ Sri Subahan.

Beliau juga menyatakan bahawa Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara telah dimaklumkan mengenai perkara ini dan kedua-duanya telah memberi lampu hijau.

FIH dalam kenyataannya pada pagi Selasa menyatakan keputusan mereka adalah selepas perbincangan dengan Konfederasi Hoki Pakistan (PHF) di mana mereka gagal mengesahkan persediaan yang sepatutnya telah dibuat bagi menyertai kejohanan tersebut.

“FIH kesal di atas kegagalan Pakistan mengambil bahagian dalam kejohanan ini walaupun secara rasminya mereka layak. Namun, visa telah dimohon selepas tempoh rasmi yang diberikan tamat dan tiada persiapan lain (seperti tempahan tempat tinggal) dilakukan dalam tempoh yang diberikan.

“Walaupun beberapa surat peringatan juga telah dihantar kepada PHF, mereka tidak menunjukkan tanda-tanda yang pasukan itu akan berangkat ke Lucknow bagi menyertai kejohanan yang akan bermula beberapa hari saja lagi.

“FIH mempunyai perikatan kontrak dengan rakan penaja untuk melangsungkan semua perlawanan yang telah ditetapkan dalam kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki Uttar Pradesh itu. Dengan kejohanan yang akan bermula beberapa hari sahaja lagi, hari ini sahaja merupakan peluang kepada FIH untuk menetapkan kesemua 16 pasukan yang bakal bersaing di Lucknow demi menjaga kualiti kejohanan,” menurut kenyataan itu.

- Advertisement -