Kejohanan Piala Remaja Asia (Wanita) 2023 yang akan berlangsung di Stadium Hoki Kawasaki Heavy Industries, Kakamigahara Gifu, Jepun pada 2 hingga 11 Jun ini akan menjadi pentas buat 10 pasukan remaja wanita daripada Asia termasuk Malaysia merebut tiket ke Kejohanan Piala Dunia Remaja Wanita 2023, Chile.

Piala Remaja Asia (Wanita) juga merupakan perlawanan kelayakan Piala Dunia Remaja Wanita dengan tiga slot bagi Benua Asia menjadi rebutan dan Malaysia diletakkan di dalam Kumpulan A bersama India, Korea, Chinese Taipei serta Uzbekistan sementara Kumpulan B menampilkan Jepun, China, Hong Kong China, Indonesia dan Kazakhstan.

Seramai 20 pemain akan berangkat ke Jepun pada Isnin (29 Mei) dan enam daripadanya merupakan pemain yang telah mempunyai pengalaman bersama Pasukan Senior Wanita Kebangsaan di mana lima daripada enam pemain tersebut berada di dalam skuad yang memenangi pingat emas Sukan SEA 2023 Kemboja baru-baru ini.

Ketua Jurulatih Pasukan Remaja Wanita Kebangsaan, Lailin Abu Hassan menjelaskan, pemilihan pemain bagi pasukan ini telah bermula sejak awal tahun 2022 dengan tahap kecergasan pemain, keserasian antara satu sama lain dan mempunyai mentaliti untuk menang antara kriteria pemilihan pemain bagi menggalas cabaran Malaysia di kejohanan ini.

“Semestinya pemain yang telah beraksi di Sukan SEA baru-baru ini telah mendapat satu suntikan semangat kerana telah beraksi di pentas yang tinggi, dan mereka ini juga pemain yang telah matang dari segi memahami dan melaksanakan taktikal serta strategi yang dirancang oleh pasukan.

“Ketika di Sukan SEA baru-baru ini, lima pemain yang telah beraksi merupakan barisan pemain utama. Jadi saya berharap pemain-pemain ini dapat membantu pemain-pemain muda yang lain bagi mencapai keputusan yang kami sasarkan di Piala Remaja Asia nanti.

“Perlawanan pertama kami akan bertemua Chinese Taipei diikuti India yang merupakan pasukan terkuat pada kejohanan ini, seterusnya Uzbekistan dan Korea pada perlawanan terakhir.

“Kami akan mengambil satu perlawanan demi satu perlawanan dan cuba mengutip mata pada pertemuan dengan Chinese Taipei serta Uzbekistan selain pertemuan dengan Korea akan menjadi penentuan untuk kami mencapai sasaran layak ke separuh akhir sebelum cuba untuk muncul selaku tiga pasukan terbaik kejohanan dan seterusnya layak ke Piala Dunia Remaja 2023, Chile,” jelas beliau.

Malaysia akan memulakan kempen Kejohanan Piala Remaja Asia (Wanita) 2023 bertemu Chinese Taipei pada 2 Jun (Jumaat) jam 11:00 pagi, waktu Malaysia.

Berikut merupakan senarai 20 pemain Skuad Remaja Wanita Kebangsaan yang akan menggalas tugas di Kejohanan Hoki Piala Remaja Asia (Wanita) 2023, Kakamigahara Gifu, Jepun.

NO NAMA POSISI
1. Fitrinur Amiera Ramlee Penjaga Gol
2. Nur Hazlinda Zainal Abidin Penjaga Gol
3. Siti Nur Husna Mohd Noh Pertahanan
4. Anith Humairah Baharudin Pertahanan
5. Khairunnisa Ayuni Mohd Sharuddin Pertahanan
6. Nurul Fatin Fatiah Azman Pertahanan
7. Nur Nabila Alia Yussaini Pertahanan
8. Brenda Jj Andy Junior Pertahanan
9. Nur Insyirah Effarizal Tengah
10. Kirandeep Kaur Gurdip Singh Tengah
11. Thibatharshini James Tengah
12. Nurdini Batrisyia Mohd Ridzuan Tengah
13. Siti Nur Irdina Mohd Nor Tengah
14. Aina Zafifah Mohd Razali Tengah
15. Azmyra Mia Sofea Azhairy Penyerang
16. Siti Nur Atika Shaikh Maznan Penyerang
17. Nur Shamine Azureen Mohammed Badusha Penyerang
18. Dian Nursyakira Najwa Al-Wadqa Nazeri Penyerang
19. Zati Alyani Muhamad Zubir Penyerang
20. Norshafiqha Ishak Penyerang

  

Berikut merupakan jadual penuh perlawanan Pasukan Remaja Wanita di Kejohanan Hoki Piala Remaja Asia (Wanita) 2023, Kakamigahara Gifu, Jepun

NO TARIKH MASA (GMT +9)

(WAKTU MALAYSIA)

PERLAWANAN
 

1.

 

2 JUN / JUMAAT 11:00 PAGI MALAYSIA LWN CHINESE TAIPEI
2. 5 JUN / ISNIN 11:00 PAGI MALAYSIA LWN INDIA
 

3.

 

6 JUN / SELASA 11:00 PAGI UZBEKISTAN LWN MALAYSIA
4. 8 JUN / KHAMIS 1:00 PETANG MALAYSIA LWN KOREA
5. 10 JUN / SABTU 12:00 TENGAH HARI SEMI FINAL (1ST POOL A vs 2ND POOL B)
2:30 PETANG SEMI FINAL (1ST POOL B vs 2ND POOL A)
6. 11 JUN / AHAD 2:30 PETANG TEMPAT KE-3 / KE-4
5:00 PETANG FINAL

 

- Advertisement -