Juan Jose Morales

Oleh Ku Mohd Lufti

Bagi mengukuhkan serta memantapkan lagi pasukan Terengganu FA, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu, PBSNT mengambil keputusan untuk menggugurkan dan mencari beberapa lagi pemain khususnya di bahagian pertahanan.

Malah salah seorang pemain import mereka yang beraksi dibahagian hadapan juga mungkin akan ganti pada jendela perpindahan ini, bagi mengharungi separuh lagi baki pusingan liga musim ini.

Jelas Presidennya Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid, pemain import yang dimaksudkan itu adalah Juan Jose Morales dari Argentina yang sering dimasukkan sebagai pemain gantian.

Namun pertukaran serta penggantian itu juga perlu berlandaskan kepada klausa kontrak dan persetujuan bersama pemain terlibat.:

“Saya berterus terang, kita bersetuju menukar J. J Morales. Kita telah serahkan kepada Abdul Rasid, pengurus pasukan yang akan menilai pemain pemain. Kita sudah ada pemain pemain yang akan dibawa masuk untuk bersama pasukan Terengganu.”Kata Datuk Wan Ahmad Nizam.

Perkara itu dibangkitkan ahli jawatankuasa persatuan yang sebulat suara bersetuju untuk mencari pengganti pemain berusia 34 tahun itu, ekoran prestasi serta desakan peminat yang mahu jentera hadapan skuad Peteh, dipertajamkan lagi.

Menurut Datuk Wan Ahmad Nizam lagi , pembelian atau pengambilan pemain baharu pada pertengahan Liga Super musim ini juga adalah berdasarkan keadaan kantung kewangan persatuan.:

“Sebab ramai di luar sana tidak mengetahui kedudukan kewangan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu. Sebab itu saya ingin memberitahu, kewangan bolasepak Negeri Terengganu cukup ketat,” katanya lagi.

Datuk Wan Ahmad Nizam terdahulu mengadakan mesyuarat bersama Ahli-ahli Jawatankuasa PBSNT yang turut membincangkan hal-hal dalaman melibatkan pengurusan persatuan itu.

Bekas permain pertahanan kebangsaan, Amirizdwan Taj Tajuddin yang mengalami kecederaan pada awal musim adalah antara pemain tempatan digugurkan dari skuad Terengganu.

- Advertisement -