ANTARA FOTO/INASGOC/Ikhwan Yanuar/inp/18

 

Pasukan skuash lelaki Malaysia mencipta sejarah di Gelora Bung Karno apabila menewaskan pilihan utama Hong Kong dalam aksi final pada Sabtu untuk memenangi pingat emas buat kali pertama di pentas Sukan Asia.

Malaysia yang sebelum ini dua kali kecewa dalam aksi final pada 2010 dan 2014 – kedua-duanya menerusi kuartet Nafiizwan Adnan, Azlan Iskandar, Ong Beng Hee dan Ivan Yuen – menebus duka apabila tampil bertenaga untuk bangkit daripada ketinggalan 0-1 sebelum mengesahkan emas bersejarah itu.

Dalam aksi final itu, pasukan negara bermula langkah kiri apabila Ivan Yuen tewas aksi pertama kepada pemain ranking 25 dunia Yip Tsz Fun 1-3 (7-11, 18-20, 11-9 dan 8-11).

Bagaimanapun perseorangan lelaki nombor satu negara Nafiizwan Adnan kemudiannya mengikat kedudukan 1-1 setelah mencatat kemenangan 3-0 (11-9, 11-7, 11-7) ke atas Lee Ho Yin.

Ianya bekas juara remaja dunia Ng Eain Yow yang memastikan sejarah tercipta menerusi kemenangan 3-0 (11-7, 11-7, 11-4) ke atas Au Ching Ming pada aksi ketiga.

Kejayaan ini sekaligus melengkapkan sasaran tujuh pingat emas yang ditetapkan kontijen negara di temasya kali ini dan menebus kekecewaan dialami pasukan wanita negara yang gagal mempertahankan pingat emas setelah kecundang di separuh akhir kepada India.  MUHD AIMAN 

- Advertisement -