Saingan kelayakan Kejuaraan Piala AFF 2018 menyaksikan Timor Leste melakar kemenangan tipis 3-1 ke atas Brunei Darussalam.

Meskipun membariskan majoriti pemain pemain yang beraksi di Sukan Asia 2018 di Indonesia, skuad kendalian Norio Tsukitate mampu mempamer aksi yang konsisten sepanjang separuh masa pertama.

20 minit pertama, Timor Leste lebih banyak menyerang menerusi gerakan pantas dan kawalan bola yang kemas.

Usaha itu nyata membuahkan hasil apabila penyerang Henrique Wilson da Cruz Martins meledak dua gol dalam tempoh empat minit.

Gol pertama hadir di minit ke 28 selepas memanfaatkan ruang terbuka susulan aksi kelam kabut di dalam kotak penalti Brunei sebelum kesilapan pertahanan pelawat membuka ruang sekali lagi kepada Henrique untuk mencetak gol kedua.

Brunei tampak semakin fokus selepas ketinggalan dua gol dan berusaha untuk merapatkan jurang gol, namun pertahanan Timor Leste yang dipimpin kapten pasukan, Jorge Sabas Victor tenang menyerap asakan lawan.

Brunei akhirnya merapatkan jurang gol di babak kedua menerusi pemain gantian, Muhd Azwan Ali Rahman di minit 57.

Permainan sekali sekala dihentikan pengadil perlawanan susulan terjahan keras pemain kedua dua pasukan, namun tiada insiden pergaduhan berlaku.

Timor Leste menutup aksi di Stadium KLFA, Cheras dengan kemenangan mutlak selepas pemain gantian, Silveiro da Resureicao da Silva menjaringkan gol ketiga ketika permainan di masa tambahan selepas tamat masa sebenar.

Kemenangan ini sekaligus memberi sedikit kelegaan buat Tsukitate yang berbekalkan kelebihan dua gol sebelum bertandang ke Bandar Seri Begawan 8 September depan bagi perlawanan timbal balik untuk menentukan pasukan mana yang layak ke undian utama kumpulan B. 

- Advertisement -