Pasangan beregu badminton negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik terpaksa menarik diri daripada menyertai kejohanan Terbuka Jerman yang dijadual berlangsung pada 8-13 Mac selepas Wooi Yik, disahkan positif COVID-19.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam satu kenyataan berkata pemain berusia 24 tahun itu tidak bergejala dan dalam keadaan baik.

Menurut BAM Wooi Yik kini sedang mengasingkan diri mengikut prosedur operasi standard Kementerian Kesihatan, Kementerian Belia dan Sukan, serta protokol Majlis Sukan Negara.

Pasukan kejurulatihan dan perubatan BAM akan terus memantau proses pemulihannya sebelum memutuskan mengenai penyertaannya di All England yang dijadualkan berlangsung dari 16-20 Mac di Birmingham.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 Aaron-Wooi Yik itu diundi menentang rakan senegara Goh V Shem-Low Juan Shen dalam pusingan pertama Terbuka Jerman.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan (Perseorangan) BAM Wong Choong Hann mengesahkan pemain perseorangan lelaki Ng Tze Yong, 21, akan terlepas peluang beraksi dalam Terbuka Jerman kerana mengalami kecederaan ringan.

“Tze Yong tidak akan beraksi dalam kejohanan itu bagi proses pemulihannya daripada kecederaan. Kami akan mengalihkan tumpuan terhadap persediaan dalam menghadapi Terbuka Switzerland yang dijadualkan dari 22-27 Mac, katanya dalam satu kenyataan.

Pemain nombor 46 dunia Tze Yong, sepatutnya dijadual bertemu pemain nombor enam dunia Jonatan Christie dari Indonesia dalam pusingan pembukaan kejohanan yang menawarkan hadiah USD180,000 (kira-kira RM750,000) itu.

 

- Advertisement -