Penyerang import Terengganu FC, Sony Norde beri bayangan Negeri Sembilan FC akan hadir dengan percaturan yang lebih baik terutamanya selepas kalah besar tempoh hari sekali gus ia akan menjadi pertembungan sukar dalam aksi Liga Super, malam ini.

Norde percaya skuad kendalian K. Devan tidak akan membiarkan mereka tersungkur sekali lagi selepas mengalami kekalahan besar 0-7 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) di mana Terengganu perlu lebih bersedia untuk menghadapi tuan rumah di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi dalam memastikan pasukan meraih kemenangan berterusan.

Justeru, bekas penyerang Melaka United FC itu tidak akan mengambil mudah setiap pergerakan lawan dalam usaha menyekat peluang mereka selain Terengganu juga perlu lebih aggresif untuk memburu jaringan.

“Sudah tentu ia tidak mudah sebab Negeri Sembilan mesti nak menang selepas mereka kalah tempoh hari, dan kita tidak boleh nak pandang mudah dekat mana-mana lawan sekali pun.

“Setiap pasukan ada kelebihan masing-masing dan kami juga tahu situasi di pasukan ini untuk pastikan kami dapat beraksi dengan lebih baik.

“Apa yang penting, kita perlu betul-betul fokus sebab saya yakin Negeri Sembilan tidak akan beri jalan mudah kepada kita nanti”, katanya.

Dalam pada itu, Norde turut menyifatkan tahap keyakinan pemain semakin bertambah terutamanya selepas menang ke atas PDRM FC tempoh hari.

Sudah tentu, ia bukanlah permulaan yang agak baik untuk Terengganu apabila mereka gagal memburu sebarang jaringan dalam tiga perlawanan awal, namun kali ini dia turut sama ingin bekerja keras dalam usaha meledak gol peribadi.

“Saya rasa ia adalah sesuatu yang baik apabila kita mula menang ke atas PDRM FC untuk dapatkan semula tahap keyakinan terutamanya selepas tewas dua kali dan seri sekali pada awalnya.

“Untuk saya sendiri, sudah pastinya saya masih perlu mengambil masa untuk cuba menyesuaikan diri sebab ini kali pertama saya di Terengganu.

“Saya rasa setiap pemain sudah tentu ada keinginan untuk tunjukkan kemampuan masing-masing dan walaupun saya masih belum puas, saya memang akan usaha untuk perbaiki apa yang patut”, tambahnya.

Dua perlawanan Liga Super akan berlangsung pada malam ini menyaksikan Perak FC bakal menerima kunjungan Sri Pahang FC dan Negeri Sembilan FC akan menentang Terengganu FC.

- Advertisement -