Gandingan bergu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jamie dipaksa bertarung tiga set sebelum menceriakan kem negara apabila mengesahkan slot ke separuh akhir All England.

Berdepan gandingan ranking kedua dunia dariu China, Wang Yilyu-Huang Dongping, Soon Huat dan Shevon nyata tidak diletakkan sebarang harapan.

Harapan tampak tipis apabila bergu campuran negara ini tewas 13-21 di set pertama. Namun turun dengan status under dog tampak memberi ‘keselesaan’ buat Soon Huat dan Shevon yang bangkit dengan permainan lebih meyakinkan di set kedua.

Meskipun sekali sekala ketinggalan, Goh Soon Huat dan Shevon tetap tenang menanti peluang untuk meraih mata sehingga kedua dua bergu terikat 20 sama.

Keyakinan Soon Huat dan Shevon semakin membara apabila bijak mencari peluang sebelum mengesahkan kemenangan 22-20 sekaligus megheret permainan ke set penentuan.

Wang Yilyu dan Dongping tampak semakin bergelut untuk mencari formula mengatasi bergu negara apabila sering melakukan kesilapan.

Peluang ini dimanfaatkan Soon Huat dan Shevon yang tidak  memberi banyak ruang kepada lawan sebaliknya memastikan bergu nombor dua dunia itu terus bermain dalam keadaan tekanan.

Goh Soon Huat pula dipaksa bergelut selepas mengalami kecederaan bahu kanan, namun tetap mampu untuk menceriakan penyokong yang hadir dengan aksi yang mantap.

Perjuangan Goh Soon Huat dan Shevon Lai Jamie berakhir dengan noktah kemenangan selepas menang 21-18 untuk mara ke peringkat separuh akhir dan akan berdepan  juara bertahan yang menduduki ranking ketiga dunia dari Jepun Yuta Watanabe-Arisa Higashino.

Sementara itu, hasrat untuk menyaksikan satu lagi gandingan bergu negara beraksi di separuh akhir tidak kesampaian selepas gandingan Goh V Shem – Tan Wee Kiong terkandas di peringkat suku akhir hari ini.

berdepan seteru utama dari Indonesia, Fajar Alfian – Muhd Rian Ardianto, V Shem dan Wee Kiong terus kempunan untuk melakar kemenangan selepas tewas 20-22, 12-21 dalam pertarungan yang berlangsung selama 40 minit.

 

- Advertisement -