Tinggal hanya pasangan Goh Soon Huat-Shevon Lai sebagai wakil tunggal negara dalam acara beregu campuran di Terbuka Denmark setelah dua lagi wakil Tan Kian Meng-Lai Pei Jing serta Chan Peng Soon-Cheah Yee See ditunjukkan jalan keluar seawal pusingan pertama.

Soon Huat dan Shevon meneruskan kemaraan setelah bekerja keras menundukkan pasangan dari Korea Selatan, Kim Jae Hwan-Lee So Hee 21-15, 23-25 dan 21-14 dalam perlawanan menarik yang berlangsung hampir satu jam di Odense Sports Park.

“Ini penampilan pertama kami di Terbuka Denmark dan gembira dapat melepasi halangan pertama. Kami sepatutnya boleh menang lebih awal di set kedua tetapi sedikit gemuruh kerana mahu habiskan perlawanan cepat dan dihukum. Kami lebih tenang di set ketiga dan berjaya kurangkan kesilapan,” kata Soon Huat.

Dalam aksi pusingan kedua lewat malam Rabu, gandingan nombor 14 dunia itu akan menentang piihan keenam Wang Yilyu-Huang Dongping dari China. 

“Kami tidak boleh letak harapan tinggi tapi sudah tentu kami akan berikan satu tentangan yang sengit untuk cuba membuat kejutan,” ujar Soon Huat lagi.

Sementara itu, gandingan beregu campuran nombor satu negara, Kian Meng-Pei Jing yang juga pasangan nombor 10 dunia tewas mudah 17-21, 10-21 kepada satu lagi pasangan dari Korea Selatan, Seo Seung Jae-Kim Ha Na.

Manakala Peng Soon-Yee See pula tewas dalam pertarungan tiga set 21-15, 12-21 dan 18-21 kepada gandingan dari Denmark, Marcus Ellis-Lauren Smith.

Wakil negara yang lain turut turun beraksi pada Rabu adalah Dato’ Lee Chong Wei (perseorangan lelaki) dan dua gandingan beregu wanita, Vivian Hoo-Woon Khe Wei serta Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -