gifu

Oleh Muhammad Aiman

Skuad hoki negara terus buntu mencari kemenangan dalam siri Jelajah Jepun, terbaru The Speedy Tigers tewas 3-4 kepada tuan rumah dalam perlawanan ujian kedua yang berlangsung di Kakamigahara pada Ahad.

Ia adalah kekalahan ketiga buat skuad negara dalam empat perlawanan menentang Jepun namun jurulatih Stephen Van Huizen tetap berpuas hati dengan prestasi keseluruhan pemainnya malah menganggap ini adalah aksi terbaik Malaysia sejak berada di Jepun.
“Kita bermula dengan agak perlahan dan melepaskan gol awal. Kita berada di belakang sepanjang perlawanan tetapi pemain-pemain terus memberi tentangan dan tidak berputus asa.

“Saya boleh katakan kita bermain dengan lebih baik berbanding 3 perlawanan terdahulu. Kita dapat 5 pukulan sudut penalti dan menjaringkan tiga gol.

“Jelajah ini telah membuka mata kita dan pemain muda kita telah mendapat satu pendedahan yang baik. Kita masih ada dua perlawanan untuk diharungi, dan akan fokus dari perlawanan ke perlawanan,” katanya.

Pada perlawanan itu, empat gol Jepun dijaringkan oleh Ryo Ozawa (dua gol), Kenta Tanaka dan Takuma Murata manakala malaysia menjaringkan gol menerusi Najmi Farizal Jazlan (dua gol) dan Firhan Ashaari.

Sebelum ini Malaysia tunduk 1-5 dan 1-3 dalam perlawanan latihan dan kemudiannya mengikat Jepun 1-1 dalam perlawanan ujian pada Sabtu.

Speedy Tigers akan berdepan Jepun dalam dua lagi perlawanan latihan pada Selasa dan Rabu ini.

- Advertisement -