Sarawak United tetap tidak mengalah untuk memburu kemenangan dalam aksi terakhir Liga Premier 2020 selain mengharapkan slot TM Piala Malaysia meskipun kini berada di tangga tercorot liga.

Ketua jurulatih Sarawak United, E. Elavarasan menggesa anak buahnya untuk tidak berputus asa dalam aksi getir berdepan Negeri Sembilan pada malam esok kerana tiga mata cukup penting untuk mereka menghidupkan peluang layak ke TM Piala Malaysia musim ini.

Walaupun agak mustahil berdasarkan kedudukan semasa, tetapi Sarawak United masih berpeluang seandainya pasukan lain seperti Kelantan United dan UKM FC yang hanya dibezakan satu mata untuk berada di tangga ke 9 dan 10 tersungkur dalam perlawanan terakhir mereka pada minggu ini.

Justeru, Elavarasan menyifatkan skuadnya tiada pilihan ketika ini selain meraih mata penuh dalam perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi serta mengharapkan pencabar mereka kecundang.

“Untuk sekarang, hanya itu sahaja pilihan yang kita ada untuk tengok keputusan pasukan lain seperti UKM FC dan Kelantan United kerana sekiranya mereka gagal raih mata, dan kami menang, slot itu mungkin akan menjadi milik kami bergantung kepada jumlah jaringan juga.

“Apa-apa pun, saya percaya pasukan masih ada kebolehan dan kekuatan untuk mencuba rebut slot ke TM Piala Malaysia walaupun peluang itu agak tipis.

“Negeri Sembilan sudah pasti tidak akan memberi laluan mudah kepada kami dan mereka juga pasti enggan terlepas peluang itu, namun kalau penyerang saya dapat menjaringkan seberapa banyak gol, kami pasti boleh harunginya.

“Ini kerana kelemahan pasukan selama ini adalah daripada serangan yang masih tumpul dan gagal menyempurnakan jaringan, jadi saya harap semua pemain tidak membuat kesilapan sama dan kita ingin tamatkan liga dengan keduudukan yang lebih baik”, jelasnya.

Sarawak United hanya meraih dua kemenangan sahaja setakat ini untuk berada di tangga tercorot dengan lapan mata.

Selain itu, Kelantan United juga dilihat tidak ingin melepaskan peluang keemasan untuk layak ke TM Piala Malaysia buat julung kalinya, tetapi ia pasti bukan mudah apabila bakal berentap dengan Selangor 2 pada malam esok.

Kelantan pula yang berada di tangga ketujuh dengan 12 mata perlu memastikan kemenangan ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT II) untuk memperbaiki kedudukan mereka.

Juara Liga Premier 2020, Pulau Pinang pula sudah pasti ingin melengkapkan saingan liga dengan rekod tanpa kalah apabila bakal menentang Terengganu FC II selain UKM FC pula akan menerima kunjungan Perak II.

Manakala Kuching FA yang sudah mengesahkan tempat ke saingan TM Piala Malaysia dengan menduduki tangga kelima bakal menentang pasukan naib juara liga, Lumpur Lumpur pada satu tarikh yang akan ditetapkan kelak disebabkan Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 dilaksanakan di Sarawak.

- Advertisement -