100Plus - Liga Bola Sepak Kementerian Pelajaran Malaysia

Kedudukan pendahulu Liga Super Piala Menteri Pendidikan Malaysia (B-14) bertukar tangan sekali lagi, kali ini giliran SSM Tunku Mahkota Ismail melonjak ke tangga teratas setelah beraksi garang membelasah SMK Syed Hassan 4-1.

Satu gol masing-masing jaringan Razif Alimi Razaki, Iman Kassim, Syahrul Umam Bukari dan Alfyieno Aley membantu SSM Tunku Mahkota Ismail mencatat kemenangan ketiga dan menerajui liga dengan sembilan mata.

Namun kelebihan pasukan dari Johor itu hanyalah berdasarkan beza jaringan berikutan kemenangan yang dilakar oleh SMK Seberang Temerloh, yang menyaksikan pasukan itu turut mengumpul sembilan mata dan melonjak ke tangga kedua.

SMK Seberang Temerloh bangkit dari ketinggalan 0-1 untuk menewaskan wakil Negeri Sembilan, SMK Za’ba 3-1, terima kasih kepada tiga jaringan di babak kedua oleh Adam Malique Daniel, Amirul Safri dan Faizal Romelan.

Pendahulu sebelum ini, SMK Bukit Nenas tercicir ke tangga ketiga setelah diikat 1-1 oleh SMK Putera di gelanggang sendiri.

Jaringan Haikal Abu Hassan pada minit ke-20 meletakkan SMK Putera dalam laluan untuk mencatat kemenangan pertama musim ini, namun Ahmad Wafiyuddin Rozilah memastikan tuan rumah mengutip satu mata menerusi gol penyamaan pada minit ke-44.

Dalam satu lagi perlawanan, SMK Tabuan Jaya dan SMK Seksyen 11 sekadar berpuas hati mengutip satu mata setelah terikat tanpa jaringan.    

Sementara itu, aksi Liga Perdana Piala Menteri Pendidikan pula menyaksikan SSM Pahang mencatat kemenangan 2-1 ke atas pendahulu liga SMK Datuk Peter Monjuntin di gelanggang lawan sekaligus merampas teraju liga dengan sembilan mata.

Najmudin Akmal yang menjaringkan gol kemenangan ketika menewaskan SMK Gunung Rapat Sabtu lalu, sekali lagi menjadi wira buat SSM Pahang apabila menjaringkan dua gol pada minit ke-40 dan 53 untuk mengecewakan tuan rumah yang sebelum itu mendahului menerusi jaringan Azhad Harraz Arman.

SMK Seri Kota melonjak ke tangga kedua setelah menang tipis 1-0 ke atas wakil Kedah, SMK Tunku Anum T.A.R menerusi jaringan tunggal Haziq Mohd Suri – kemenangan yang membolehkan pasukan dari Melaka itu kekal sebagai satu-satunya pasukan dalam Liga Perdana yang belum tewas.  

SMK Gunung Rapat pula kembali ke landasan kemenangan setelah menundukkan MSS Putrajaya 3-1 di gelanggang sendiri dan melonjak ke tangga ketiga. Gol buat pasukan tuan rumah dijaringkan oleh Afi Firdaus Abdul Rahim, Shakir Azim Wira dan Ikfan Rozi manakala gol tunggal MSS Putrajaya sumbangan Hazim Ihsan Zainal Abidin.

Dalam pada itu, SMK Mutiara Impian pula bangkit dari ketinggalan dua gol untuk mengikat SMK Seri Titiwangsa 2-2 namun keputusan itu tidak membantu pasukan dari Pulau Pinang itu untuk keluar dari kedudukan tercorot liga.

Fakrul Aizat Ramlee menjaringkan dua gol pantas pada minit kelima dan lapan untuk SMK Seri Titiwangsa mendahului 2-0 namun SMK Mutiara Impian mencuri satu mata hasil jaringan Azim Anuar dan Syafiq Nazri di babak kedua.  

Liga Piala Kementerian Pelajaran Malaysia dan Piala Super 100 Plus adalah beberapa program  dan pertandingan peringkat remaja yang disokong 100 PLUS, pembekal minuman isotonic di Malaysia.

Selain bolasepak kejohanan lain seperti, kejohanan Golf Remaja Terbuka Malaysia 100PLUS, dan kejohanan Badminton Remaja Sirkit KEbangsaan 100PLUS.

100PLUS diiktiraf oleh Majlis Sukan Negara, MSN.

 

KEPUTUSAN

LIGA SUPER PIALA MENTERI PENDIDIKAN (B14)

 

SMK Seberang Temerloh (Pahang) 3

SMK Za’ba (N.Sembilan) 1

 

SMK Bukit Nenas (Terengganu) 1

SMK Putera (Kelantan) 1

 

SMK Tunku Mahkota Ismail (Johor) 4

SMK Syed Hassan (Perlis) 1

 

SMK Tabuan Jaya (Sarawak) 0

SMK Seksyen 11 (Selangor) 0

 

 

LIGA PERDANA PIALA MENTERI PENDIDIKAN (B14)

 

SMK Mutiara Impian (Pulau Pinang) 2

SMK Seri Titiwangsa 2

 

SMK Seri Kota (Melaka) 1

SMK Tunku Anum T.A.R (Kedah) 0

 

SMK Gunung Rapat (Perak) 3

MSS Putrajaya 1

 

SMK Datuk Peter Monjuntin (Sabah) 1

SSM Pahang 2       

- Advertisement -