ATM Guardians memastikan tiada penyudah anti klimaks dalam perebutan kejuaraan Sepaktakraw League (STL Premier) 2018 apabila mencatat kemenangan 2-0 ke atas Selangor Pistons pada Sabtu untuk merampas semula takhta liga.

Pada perlawanan berlangsung di Gem In Mall Cyberjaya itu, Hairul Hazizi Haidzir yang bergandingan dengan Norfaizzul Razak dan Ab Muhaimi Che Bongsu menang 21-18, 21-17 ke atas trio Yushairil Amir Yusoff-Farhan Adam-Amyrul Shafiq Shamudin.

Kemenangan ke-14 itu menyaksikan ATM Guardians mengumpul jumlah mata sama dengan Penang Black Panthers (28 mata) namun mendahului carta liga 10 pasukan menerusi beza set menang.

Ini bermakna gelaran juara akan ditentukan pada hari terakhir STL Premier 2018 pada Ahad dengan ATM Guardians akan dinobatkan selaku juara sekiranya mencatat kemenangan straight set ke atas pasukan tangga ketiga KL Thunder.

Namun, walau tercicir satu set sekalipun bakal menyaksikan mereka berputih mata melepaskan kejuaraan kepada Penang Black Panthers yang dijangka tidak berdepan masalah menewaskan pasukan tangga tercorot Melaka Titans.

Jurulatih ATM Guardians, Aswadi Abdullah tidak mahu barisan pemainnya tertekan dan kekal memberi tumpuan seratus peratus agar dapat menamatkan perjuangan selaku juara sekaligus merobohkan dominasi Penang Black Panthers yang muncul juara dua musim berturut-turut.

ā€œKita berada pada tahap terbaik untuk mengetepikan tentangan sengit Selangor Pistons dan perlu bermain dengan jauh lebih baik menentang KL Thunder. Ketika pusingan pertama kita tewas straight set kepada mereka dan perlu menang perlawanan ini juga dengan keputusan straight set.

ā€œDengan Penang Black Panthers akan bermain terlebih dahulu sebelum kita, memang tekanan lebih kepada ATM Guardians. Tetapi saya ingatkan kepada pemain kuatkan mental dan jangan fikir pasal keputusan perlawanan Penang sebaliknya fokus untuk menterjemahkan permainan terbaik.

ā€œDi atas kertas ia satu perlawanan sukar tetapi macam-macam boleh berlaku, saya yakin dengan pemain saya,ā€ kata Aswadi.

Sementara itu, kekalahan ke-13 buat Selangor Pistons menyaksikan mereka menamatkan cabaran di kedudukan kesembilan dengan hanya 10 mata dan tersingkir ke STL Divisyen Satu musim depan bersama-sama Melaka Titans.

- Advertisement -