Saingan Sepaktakraw League (STL 2018) kembali bersambung di Gem In Mall Cyberjaya pada Jumaat dengan berlangsungnya enam perlawanan – dua perlawanan STL Premier dan empat perlawanan STL Divisyen Satu yang menjadi pembuka tirai bagi minggu keenam.

Dalam aksi STL Premier, Selangor Pistons menterjemahkan kebangkitan bergaya dalam kedua-dua set untuk melakar kemenangan dramatik 2-0 (25-23, 25-24) ke atas Melaka Titans.

Selangor Pistons bermula dengan menurunkan gandingan Shafiq Shariff-Arif Badri-Shafirul Nizam Zainal dan trio itu dilihat bergelut di awal permainan dan lambat mendapat rentak menyaksikan mereka ketinggalan 10-17 pada satu ketika.

Begitupun regu Melaka Titans Khobil Sapair-Hasif Yusof-Asyraaf Zawawi gagal mempertahankan kelebihan selesa itu, melakukan banyak kesilapan mudah yang membenarkan Selangor Pistons mengutip mata demi mata dan menang 25-23.

Skrip sama berulang di set kedua, sekali lagi Selangor Pistons ketinggalan jauh 10-17 dan keghairahan pemain-pemain Melaka Titans yang mahu segera menamatkan perlawanan untuk beraksi di set penentuan memakan diri apabila mereka kerap hilang tumpuan sebelum kecundang 24-25.

“Kita bermula agak lambat, lawan dah mendahului tujuh mata, kemudian barulah mereka kurangkan kesilapan, mengatasi kelemahan terutama dari segi penerimaan bola pertama dan memperkemas pertahanan. Itu yang bantu kita untuk kutip mata dan mengejar mereka.

“Sama juga di set kedua, saya rasa mungkin penyudah pihak lawan tidak berapa cantik, dan kami ambil kesempatan di situ. Sebenarnya daripada awal saya sudah tekankan dengan Melaka Titans ni kita kena dapatkan rentak awal, sebab apa yang kita kesan mereka ni memang kebanyakan perlawanan mereka tinggalkan lawan dengan jauh, tetapi tewas di penghujung,” kata jurulatih Selangor Pistons Amir Bakar.

Kemenangan ini adalah yang keempat buat Selangor Pistons musim ini namun mereka kekal menghuni tangga kedua tercorot manakala bagi Melaka Titans pula ianya adalah kekalahan kesepuluh berturut-turut sejak kali terakhir menang pada minggu pertama saingan.

Satu lagi aksi STL Premier menyaksikan Penang Black Panthers yang menurunkan regu terkuatnya Zaim Razali-Syahir Rosdi-Azlan Alias tidak berdepan masalah besar untuk melakar kemenangan 2-0 ke atas Perak Bison.

Gandingan itu menang 21-16 di set pertama ke atas Heppy Itam-Shohibul Fadillah Salam-Firdaus Mohamad dan kemudiannya 21-6 di set kedua.

Sementara itu, aksi Divisyen Satu STL membuka tirainya pada Jumaat menyaksikan Putrajaya Cyborg yang dianggap sebagai satu daripada pasukan tumpuan musim ini bermula dengan langkah kanan setelah menewaskan Pahang Mammoth 2-0 (21-19, 21-18).

Putrajaya Cyborg terlepas tiket bermain di STL Premier musim ini setelah menamatkan saingan Divisyen Satu musim lalu di tempat ketiga, dengan hanya beza set di belakang PDRM Defenders.

Negeri Sembilan Antlers pula dikerah bekerja keras oleh pendatang baru Masum-UPM sebelum mencatat kemenangan 2-1 (25-24, 14-21, 21-18) manakala Labuan Drillers bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan PSM Mavericks dengan keputusan 2-1 (10-21, 21-13, 21-9).

Dalam perlawanan lain, Kedah Eagles membuka kempen dengan kemenangan 2-0 (21-8, 21-15) ke atas Sarawak Hunters.

Keputusan (9 November 2018) :

STL Premier :

Selangor Pistons mng Melaka Titans (2-0 : 25-23, 25-24)
Penang Black Panthers mng Perak Bison (2-0 : 21-16, 21-6)

STL Divisyen Satu :

Negeri Sembilan Antlers mng Masum-UPM (2-1 : 25-24, 14-21, 21-18)
Kedah Eagles mng Sarawak Hunters (2-0 : 21-8, 21-15)
Putrajaya Cyborg mng Pahang Mammoth (2-0 : 21-19, 21-18)
Labuan Drillers mng PSM Mavericks (2-1 : 10-21, 21-13, 21-9)

- Advertisement -