Saingan Sepaktakraw League (STL) Champions Cup membuka tirai di Gem In Mall Cyberjaya pada Jumaat menyaksikan empat perlawanan berlangsung – masing-masing dua aksi Kumpulan A dan Kumpulan B.

Dalam aksi Kumpulan A, juara bertahan Penang Black Panthers tidak berdepan masalah besar untuk menewaskan naib juara STL Divisyen Satu Sabah Mountaineers 2-0 manakala KL Thunder mengetepikan tentangan sengit Kelantan Warriors 2-1.

Penang Black Panthers yang masih segar dengan kejayaan menjulang hatrik STL Premier pada bulan lalu tampak terlalu ampuh untuk disaingi Sabah Mountaineers.

Dengan mempertaruhkan perejam import dari Thailand, Aekkasit Naphom yang bergandingan dengan tekong kebangsaan Syahir Rosdi serta Zaim Razali, pasukan itu melakar kemenangan 21-11, 21-15 ke atas regu Sabah Izwan Zukri-Daut Amba-Jaxon Amputong.

“Syukur kerana rentak kita tidak terjejas selepas dua minggu berehat. Perlawanan lebih sukar menanti selepas ini di mana Kelantan Warriors akan cuba untuk bangkit dari kekalahan untuk menghidupkan peluang mereka ke separuh akhir jadi kita perlu kuat dari segi fizikal dan mental,” kata Syahir.

KL Thunder pula dikerah bekerja keras apabila regu gandingan Aizat Azmi-Amirul Zazwan-Norhafizi Razak tewas 14-21 di set pertama sebelum bangkit menang 21-13, 21-10 ke atas trio Kelantan Warriors, Hisyam Mat-Aidil Aiman Azwawi dan Wan Naim Izani Wan Noor.

Dalam aksi Kumpulan B, ATM Guardians dan Johor Tigris kedua-duanya dikerah bermain tiga set sebelum berjaya menewaskan lawan masing-masing.

ATM Guardians yang menurunkan Hairul Hazizi Haidzir-Asrul Isa-Norfaizzul Razak dikejutkan 12-21 pada set pertama oleh juara STL Divisyen Satu Negeri Sembilan Antlers yang diperkuatkan pemain import dari Thailand Niphat Wongprasoet.

Namun mereka tampil dengan permainan lebih kemas untuk bangkit melakar kemenangan 21-6, 21-18 dalam dua set berikutnya.

Manakala Johor Tigris pula tewas 17-21 dalam set pertama kepada Perak Bison sebelum bangkit melakar kemenangan 21-12, 21-16.

 

Keputusan penuh (Jumaat) :

Penang Black Panthers mng Sabah Mountaineers (2-0 : 21-11, 21-15)

KL Thunder mng Kelantan Warriors (2-1 : 14-21, 21-13, 21-10)

 

ATM Guardians mng Negeri Sembilan Antlers (2-1 : 12-21, 21-6, 21-18)

Johor Tigris mng Perak Bison (2-1 : 17-21, 21-12, 21-16)

 

Jadual aksi STL Champions Cup (Sabtu) :

 

KL Thunder lwn Sabah Mountaineers

Penang Black Panthers lwn Kelantan Warriors

 

Negeri Sembilan Antlers lwn Perak Bison

Johor Tigris lwn ATM Guardians

- Advertisement -