Oleh Muhammad Aiman

Datuk Seri Subahan Kamal dan Datuk Wira Mahadi Yusoff memenangi jawatan timbalan presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) setelah berakhirnya Kongres Pemilihan FAM ke-53 sebentar tadi.

Subahan, Presiden Persatuan Bolasepak Selangor meraih 37 undi manakala Yusoff, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka meraih 33 undi.

Timbalan presiden sebelum ini Datuk Seri Affandi Hamzah yang merupakan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan pula gagal mempertahankan jawatan setelah hanya meraih enam undi.

Bagi empat jawatan naib presiden ianya menjadi milik Mohd Joehari Mohd Ayub (34 undi), Dato’ Ab Ghani Hassan (29 undi), Dato S.Sivasundram (28 undi) dan Dato’ Rosmadi Ismail (20 undi).

Lapan kerusi Exco lelaki FAM dimenangi Supt Mohd Dali Wahid (25 undi), Subkhiddin Mohd Salleh (21 undi), Firdaus Mohamed (21 undi), Christopher Raj (25 undi), Datuk Jefferey Low Han Chau (28 undi), Datuk Mohd Hisamudin Yahaya (29 undi), Datuk Azisman Alias (33 undi) dan Datuk Aminuddin Omar (30 undi).

Dan dua kerusi Exco wanita FAM menjadi milik Shafizah Umamah Abdul Mutalib (18 undi) dan Datuk Suraya Yaacob (24 undi). Terdahulu, kerusi panas jawatan Presiden FAM sudahpun sah menjadi milik Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menang tanpa bertanding selepas pencabarnya Tan Sri Annuar Musa menarik diri.

Dalam sidang media pertamanya sebagai Presiden FAM, TMJ berkata beliau mahukan sebuah pasukan yang boleh bekerja mengikut caranya dan baginda tidak mahu membazir masa di dalam mengotakan segala janji yang telah dibuat untuk mentransformasikan bolasepak Malaysia sebelum ini.

- Advertisement -